Pelakon Sharnaaz Ahmad baru-baru ini menyelar tindakan sesetengah individu yang keluar bercuti namun tidak mengamalkan penjarakkan fizikal dan patuh prosedur operasi standard (SOP) ketika berlibur.
Dia dilihat meluahkan rasa berang dan kecewa mengenai isu itu menerusi akaun Instagramnya dengan memuat naik video berdurasi lapan minit.
Sharnaaz menempelak sikap masyarakat yang seolah-olah lupa akan perjuangan melawan wabak pembunuh ini.
Kata pelakon filem Juvana itu lagi, pastinya akan wujud beberapa lagi kluster baharu berikutan sikap orang ramai yang endah tak endah dalam mematuhi SOP memutuskan rangkaian wabak COVID-19 ini.
View this post on Instagram
“Dia akan ada satu kluster yang orang panggil kluster tahun baru. Bagi saya bukan kluster baru tapi kluster buta perut. Saya tengok orang muat naik gambar di Pantai Chenang. Tolonglah, itu semua tempat bawa penyakit. Saya tak kisah anda nak pergi bercuti sebab saya tahu anda tertekan tapi tengoklah, punya banyak kes datang daripada Langkawi. Tapi yang pergi bercuti, berhimpit dan melepak. Tolonglah, naik seram saya tengok.”
Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Jebat ini lagi, dia kini tidak mahu berjumpa dengan individu yang baru sahaja pulang daripada Langkawi atas sebab keselamatan dan kesihatan kendiri.
View this post on Instagram
Sharnaaz turut meluahkan kebimbangan apabila industri perfileman baru sahaja pulih dan kini banyak penggambaran yang sudah berhenti untuk seketika gara-gara penyebaran COVID-19 dalam kalangan rakan artis dan krew penerbitan.
Justeru, dia menyeru agar individu dan kontak rapat lebih cakna dan melakukan tanggungjawab untuk menjalani sendiri kuarantin di rumah dan mematuhi saranan kementerian kesihatan dalam memutuskan rantaian COVID-19 ini.