Selain Ucap “Selamat Hari Wanita Sedunia”, 10 Perkara Ini Suami Boleh Buat Tanda Hargai Pengorbanan Isteri

Trending

Selain Ucap “Selamat Hari Wanita Sedunia”, 10 Perkara Ini Suami Boleh Buat Tanda Hargai Pengorbanan Isteri

Seperti yang semua tahu, hari ini, merupakan Hari Wanita Sedunia, dan sebagai lelaki, ayah, atau suami, mungkin ada yang anda boleh lakukan untuk menghargai mereka insan yang bersama kita, menghadapi kehidupan suka dan duka.

Advertisement

Aku tengok ramai orang lelaki ucap selamat Hari Wanita Sedunia hari ini. Sebagai suami, kau tahu tak apa yang kau boleh buat pada isteri sempena Hari Wanita Sedunia ni?

1. Libatkan isteri dalam proses membuat keputusan dalam keluarga

Bincang, berkongsi idea. Bukan tiba-tiba kau dah buat keputusan sedang orang lain terpinga-pinga. Lepas tu kau suruh isteri ikut saja? Isteri pun ada otak. Mana tau idea dia lagi bernas dari kau. Kau jangan ingat sebab kau lelaki saja terus automatik jadi pandai dalam semua perkara.

2. Tanya isteri apa cita-cita dan impian dia yang belum terlaksana

Bantu untuk dia capai dan sokong. Kadang-kadang isteri ini pun ada impian dia juga, tapi dia pendam. Ada juga yang diamkan sebab tak mahu ganggu cita-cita dan kerjaya suami. Tak mahu dia jadi penghalang kejayaan kau. Selama ini mungkin isteri kau berkorban tapi kau tak sedar. Cuba tanya-tanya.

3. Hormat dan sayangi keluarga dia

Kau buat baik pada mak ayah dia, adik beradik dia, memang dia akan hargai. Bukan orang lain pun, keluarga mertua kau juga. Susah senang isteri kau nanti, itulah keluarganya yang akan bantu, terutama bila kau jauh atau kau dah tak ada.

Macam mana kau suka bila isteri kau baik dengan mak kau, begitulah juga dia. Dengan adik beradik dia pun kau sayang macam adik beradik kau. Jangan kau buat musuh pula.

4. Jangan anggap dia macam 2nd class citizen atau kuli batak

Layan dia macam mana kau suka isteri kau layan kau. Contohnya kau jangan nak berangan jadi raja sangat duduk terkangkang depan TV layan bola, isteri kau buat kerja di dapur kau buat bodoh saja. Semua benda kau suruh dia buat. Kau suruh dia buat kopi la, suruh dia picit belakang kau la. Tapi kau haram tak pernah picit kepala dia waktu dia pening.

Waktu dia mengidam, kau carilah makanan apa yang dia nak. Waktu berpantang, kau siapkanlah semua tukang urut, tungku, barut, pilis, ubat periuk dan segala macam mak nenek lagi. Kau kata isteri tu permaisuri hati kau. Layan betul-betul.

5. Beri masa rehat dari lakukan kerja rumah

Ada waktu tertentu, kau bagi dia rehat dari buat kerja rumah. Biar kau pula ganti tugas dia. Kau masakkanlah dia apa-apa yang selamat untuk dimakan. Yang rentung kau buang, kemudian kau cuba lagi sampai boleh ditelan. Kau goreng karipap frozen pun dia dah senyum sampai telinga, siap ambil gambar dan masuk Facebook lagi. Macam itulah dia punya happy kalau kau nak tahu.

Kau cuba sebulan sekali. Lepas tu seminggu sekali. Lepas tu pandai-pandai kaulah nak bincang dengan isteri. Takkan itu pun aku nak ajar.

6. Rajin-rajinkan diri bagi penghargaan pada isteri

Penghargaan ini ada macam-macam bentuk. Kau boleh puji dia, ucap terima kasih atau bagi hadiah. Kau cakap “Wah, bersihnya awak kemas dapur ni.” Itu pun dah cukup sebagai tanda kau nampak apa yang dia buat dan kau suka.

Ini isteri kau masak ke kemas ke, kau buat selamba saja. Mentang-mentanglah dia buat tiap-tiap hari, lalu kau ingat itu memang kerja dia jadi kau puji pun tidak. Kalau di ofis, bos kau tak pandang hasil kerja kau, tau pula kau nak melenting tulis status marah dekat Facebook.

7. Ambil berat tentang perkembangan dan pendidikan anak-anak

Ini tidak, semuanya kau campak pada dia atau pun cikgu kelas sebelah. Budak itu pelajaran merosot ke, kena buli ke, tak cukup makan ke, kurang kasih sayang ke, semua kau tak tahu.

Isteri kau punyalah siksa mengandungkan dan lahirkan anak. Bila anak mula membesar, prihatinlah sikit. Anak itu amanah bersama. Sama-samalah kau didik anak itu jadi manusia cemerlang.

8. Jadi pendengar yang baik

Bila isteri mengadu masalah, kau dengar dan kau pandang muka dia. Jangan konon-konon kau dengar tapi mata pandang mesej Whatsapp member ajak futsal. Tak pun belum sempat isteri nak mengadu, kau lagi dulu pula membebel marahkan bos depan isteri. Terkedu kawan tu, terus tak jadi nak cerita. Itu yang akhirnya isteri kau jadi stress dan depress sebab tak ada tempat nak luahkan masalah.

Bila balik kerja tu, kau tanyalah isteri kau, “Macam mana hari ini. Okey ke kat tempat kerja?” Tak rugi mana pun. Satu sen pun tak keluar.

9. Dahulukan keperluan isteri berbanding pelawaan kawan

Kau sibuk ucap Selamat Hari Wanita bagai, tapi bila kawan ajak ngeteh laju saja. Bila isteri ajak keluar beli baju raya anak, bukan main pemalas kau nak bangun dari sofa. Malam-malam isteri ajak dating kau rimas, kau kata banyak kerja. Main futsal tak tinggal tiap-tiap Rabu malam boleh pula. Nampak sangat prioriti kau dah tak betul

10. Tidak zalimi secara mental dan fizikal

Yang paling penting, kau jangan zalimi isteri kau secara mental ataupun fizikal. Nafkah tu jangan lupa nak bagi sama ada dalam bentuk duit atau barangan keperluan.

Kau nak kahwin dengan dia bukan main lagi kau punya mengurat. Ayat pickup line kau tu dia punya cia cia cia pun kalah Jep Sepahtu. Kau sanggup tunggu dia habis belajarlah, kau tebalkan muka jumpa mak ayah dialah.

Alih-alih bila dah dapat, kau abaikan dan zalim pada dia. Kau kutuk dia, kau jadikan dia hilang ‘self esteem’, kau cederakan fizikal dia. Ini lelaki jenis apa pun aku tak tau. Kalau kau sayang kereta kau, ada ke kau calarkan? Dah tentu tak. Maka dengan isteri kau patutnya lebih lagi sebab isteri itu manusia, bukan kereta.

Cukuplah 10 tips ni untuk aku sekali amalkan. Tulis banyak-banyak pun takut nanti tak larat pula nak buat. Buat sikit-sikit, tak dapat buat 10, buat 5 dulu pun bagus. Lepas tu kau perbaiki dari semasa ke semasa. Nak tambah sampai 20 tips pun boleh, ikutlah asal kau dan isteri kau bahagia.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

Kredit : Ahmad Affzan Abdullah

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...