Kebelakangan ini, isu merentas negeri masih lagi hangat diperkatakan. Baik golongan T20 mahupun B40 atau M40, isu ini masih menjadi buah mulut masyarakat dek percanggahan pendapat ramai pihak.
Kali ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah terpanggil untuk memberi pencerahan mengenai hukum melanggar larangan merentas negeri seperti yang ditetapkan kerajaan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.
Ujar beliau, hukumnya adalah haram. Hal ini kerana asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.
Tambah Mufti, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.
“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram”
Beliau juga berkata jika angka jangkitan terkini semakin tinggi, apa pula akan terjadi andai dibenarkan merentas negeri nanti. Bila pula rangkaian ini akan berhenti?
“Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong. Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran)”
Luqman berkata, perbincangan panjang mengenai hukum boleh dibuat bagaimanapun dalam menangani penularan Covid-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.
Sama-samalah kita muhasabah diri ya, memang sedih kerana tak dapat berjumpa keluarga, tetapi janganlah sampai tindakan kita memberi kemudaratan pada akhirnya. Semoga kita semua terus tabah dan kuat. InShaaAllah.