Pelakon terkenal Dato’ Aaron Aziz akur dengan keadaan kesihatan diri yang mengalami masalah gangguan pada saraf leher sejak lapan tahun lalu. Walaubagaimanapun, Aaron tidak menjadikan sakitnya itu penghalang untuk terus aktif dalam bidang lakonan.
Aaron atau nama lengkapnya Dato’ Aaron Mustapha bin Aziz memberi jaminan dia masih boleh melakonkan babak aksi asalkan tidak keterlaluan. Buktinya, Aaron terlibat di dalam siri terbaharu, Gerak Khas Undercover sebagai seorang anggota polis terbabit pelbagai penyamaran.
Saya selesa dapat melakukan babak-babak aksi dalam lakonan sendiri. Ia lebih memberikan saya kepuasan, cuma kini harus berhati-hati kerana masalah saraf dihidapi ini.
Pelakon kelahiran Singapura itu bersyukur tidak mengalami sebarang kesakitan sepanjang melakonkan babak besar dalam drama berkenaan memandangkan aksi itu dilakukan sendiri.
Aaron, 45, difahamkan mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian leher sejak 2012 hingga dia terpaksa keluar masuk hospital dan enggan melakukan pembedahan selagi dia mampu bertahan dengan ubat-ubatan yang dibekalkan doktor.
Melakonkan watak Asistan Superintendan (ASP) Zaki dalam Gerak Khas Undercover, Aaron berkata sakit dialami itu adalah dugaan buatnya. Namun, dia menerima takdirnya dengan hati yang terbuka dan beranggapan sakit juga fitrah dalam kehidupan manusia.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.