Penyanyi dan komposer Hael Husaini menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penanda aras utama untuknya terus bekerja keras dalam industri seni.
Kata Hael, meskipun waktu rehatnya terbatas namun dia tidak pernah menjadikan rasa penat sebagai alasan untuk berehat daripada dunia seni.
Ujar penyanyi berusia 37 tahun itu lagi, baginya penat bukanlah satu keluhan namun sebagai artis, tanggungjawab perlu dilaksanakan meski apa pun cabarannya.
Saya hidup dengan satu prinsip iaitu selagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mengeluh penat, kita yang jauh di bawah ini tak layak untuk merungut letih.
Hael juga akui dia tidak perlu ‘me time’ dan sudah tidak wujud masa untuk berehat panjang kerana mahu terus ke depan dalam kerjayanya.
Me time’ saya dah habis lama dulu, waktu saya belum dikenali, waktu saya sendu. Jadi sekarang bila rezeki sudah datang, saya tak mahu lepaskan.
Tambah Hael, cukup baginya apabila dapat waktu rehat dan tidur yang berkualiti serta turut menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kuat bekerja.
Hael kini sedang giat membuat persiapan untuk konsert solo sulungnya Hael Husaini & Repertoire yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.
Rakan-rakan artis seperti Nabila Razali, Wany Hasrita, Nadeera Zaini, Alpha dan Dayang Nurfaizah juga akan berkolaborasi dan membuat persembahan di konsert itu nanti.