Penyanyi dan juga pelakon, Elyana,33, memberitahu bahawa sel kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu kini sudah pun merebak ke organ dalaman yang lain.
Tambah Elyana lagi, dia kini hilang selera makan dan berat badannya sudah menyusut hingga tinggal 41 KG sahaja.
Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal ketika dihubungi media menjelaskan bahawa sel-sel kanser lama sudahpun berkurangan namun telah pun merebak ke bahagian rahim, hati dan juga pangkal paha.
“Ketika dimasukkan ke hospital selama lima hari bulan lalu, doktor bagitau sel kanser dah kurang tapi ianya sudah merebak ke bahagian badan yang lain.”
Meskipun begitu, dia kini berusaha sebaik boleh untuk menguatkan semangat supaya kesihatan bertambah baik dan ingin berfikiran positif setiap hari. Tidak mahu mengharapkan orang lain, Elyana kini hanya ingin mengingatkan diri sendiri agar terus kuat menghadapi dugaan hidup.
Perkembangan terkini, Elyana berkata dia berasa sihat pada waktu ini namun perlu berehat dengan lebih banyak serta tidak boleh berjalan terlalu kerap.
Dia yang kali terakhir melakukan rawatan kemoterapi pada tahun 2016 yang lalu berkata akan mengulangi rawatan tersebut dan kini sedang membuat persiapan untuk menguatkan tubuh badan sebelum menjalani prosedur itu.
Sekadar info, Elyana telah mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka, Khairul Anuar Husin pada 2010 yang lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Cinta Sumayyah yang kini berusia 9 tahun. Pasangan ini turut mempunyai seorang anak angkat iaitu Cahaya Ramadhani yang kini berusia setahun.
Sumber : Harian Metro