Pembatalan sekatan nuklear yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) akan ditentukan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sama ada untuk menerima permohonan kes difailkan Iran.
Sebelum ini, sekitar pertengahan tahun 2018, Tehran mengheret AS ke ICJ dengan mendakwa bahawa Washington melanggar perjanjian antara kedua-dua negara yang dimeterai pada tahun 1955.
Susulan keputusan AS untuk menarik diri daripada perjanjian dengan Iran pada 2015, sekatan nuklear terhadap Tehran kembali dilaksanakan ketika pentadbiran Donald Trump dan ia sekaligus mengundang kegusaran dalam kalangan sekutu Eropah.
AS mendakwa ICJ yang berpangkalan di The Hague tidak mempunyai bidang kuasa dalam meneliti permohonan dikemuka Iran, justeru kes tersebut sepatutnya digugurkan. Sekatan nuklear perlu dilaksanakan kerana Iran mencetuskan ancaman yang sangat bahaya terhadap aspek keselamatan antarabangsa.
Pada awalnya, ICJ diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas Perang Dunia II bagi merungkai pertikaian yang tercetus antara negara anggota.
Keputusan akhir berhubung pembatalan sekatan nuklear terhadap Iran akan mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk diputuskan sekiranya mahkamah antarabangsa membenar kes prosiding dilanjutkan.
Mengikut perjanjian pada tahun 2015, Tehran diarah mengenakan had terhadap kuasa nuklear negara selain membenarkan kemasukan penilai antarabangsa, bagi mengakhiri sekatan dikenakan oleh negara barat.
Iran membangkitkan semula Perjanjian 1955 untuk membatalkan sekatan nuklear terhadap Tehran susulan pengunduran Donald Trump. Iran berkata, sekatan semula itu mencetuskan keperitan dan kesusahan selain menjejaskan keselamatan kehidupan seharian jutaan manusia di negara itu.