Gadis yang sebelum ini meraih perhatian gara-gara memakai veil ketika majlis perkahwinan abangnya Danial Iskandar dan penyanyi Erissa Puteri Hashim kembali menjadi bualan netizen.
Putri Darweena Natasya atau nama jolokan diberi, Gadis ‘Veil’ itu selamat bergelar isteri kepada lelaki kacukan yang merupakan seorang juruterbang berpangkalan di London.
Dia yang mesra dengan panggilan Weena telah melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Ishtiaq Ahmed Ishaq di sebuah bangunan bersejarah terletak di Chard, Somerset, United Kingdom.
Weena menggayakan busana pengantin serba putih rekaan pereka terkenal Engku Rizalman dan telah mencuri perhatian warganet kerana veil digayakannya.
Anak kepada penerbit terkenal, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain itu menggayakan veil sepanjang tujuh meter dan disolek oleh jurusolek profesional, Rozlan Nassir, yang diterbangkan khas dari Malaysia.
Ramai memuji kedua-dua mempelai sama cantik sama padan dan bagai pinang dibelah dua selain ada yang terpukau dengan majlis serta busana digayakan Weena.
Namun begitu, terdapat segelintir netizen yang mempertikaikan cara majlis itu dijalankan dan menyamakan suasana itu seperti wedding agama lain.
Menerusi video yang lain pula, jurukamera turut memaparkan aksi pasangan tersebut bercium di depan tetamu dan ia menimbulkan rasa kurang senang netizen.