5 Ramadan lepas, genap tujuh tahun pemergian Nurin Jazlin Jazimin.
Tujuh tahun lalu, pada 20 Ogos 2007, seorang kanak-kanak perempuan telah pergi ke pasar malam berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, seorang diri untuk membeli klip rambut pada pukul 6.00 petang.
Namanya ialah Nurin Jazlin Jazimin, 8.
Nurin tidak pulang ke rumah selepas itu.
Kali terakhir dia dilihat, dia ditarik masuk ke dalam sebuah van putih, yang diputuskan oleh pihak polis setelah melihat satu rakaman kamera litar tertutup yang dipasang berdekatan tempat kejadian itu berlaku.
Ibu bapanya membuat laporan kehilangan Nurin kepada polis, dan satu usaha mencari Nurin dilancarkan selama beberapa minggu kemudiannya, yang dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk media arus perdana dan badan bukan kerajaan.
Pembunuhan
Pada pagi 17 September 2007 satu beg gimnasium yang masih baru ditinggalkan di hadapan sebuah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, yang kemudiannya dijumpai oleh pemilik kedai. Ia mengandungi mayat satu kanak-kanak yang tidak dikenali, dimuatkan dalam beg tersebut seperti keadaan bayi dalam kandungan. Pihak polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia lebih dari enam jam sebelum mayatnya ditemui.
Sebiji timun dan terung ditemui telah dimasukkan ke dalam alat kelamin kanak-kanaknya dan menyebabkan rektumnya pecah. Beberapa tulangnya juga patah, dipercayai untuk memuatkannya di dalam beg gimnasium tersebut. Hasil bedah siasat menunjukkan yang kanak-kanak itu meninggal dunia kerana jangkitan kuman.
Pada masa itu, ibu bapa Nurin tidak dapat mengecam mayat itu sebagai anak mereka kerana perubahan fizikal yang ketara pada mayat. Ada juga yang mendakwa bahawa kanak-kanak itu mungkin adalah warga asing kerana tidak memiliki parut dari suntikan vaksin BCG yang wajib untuk kanak-kanak warga Malaysia.
Anak perempuan mereka berambut panjang dan lurus, manakala rambut pada mayat kanak-kanak itu kerinting. Gigi kanak-kanak itu terkeluar, tidak seperti gigi anak mereka.
Ibu bapa Nurin terus berharap yang anak perempuan mereka masih hidup, dan mereka turut menjadi mangsa beberapa panggilan palsu dari individu yang tidak bertanggungjawab mendakwa Nurin berada dalam jagaan mereka.
Kemudiannya, seluruh negara dikejutkan dengan keputusan ujian DNA yang mengesahkan mayat itu ialah Nurin Jazlin Jazimin.
Keseluruhan artikel dengan membaca entri ini sepenuhnya.
Perubahan Fizikal
Jadi apakah yang menyebabkan perubahan pada fizikal Nurin yang menyebabkan ibu bapanya tidak dapat mengecamnya?
Seorang pakar perubatan memberitahu yang Nurin didera secara fizikal dan seksual oleh penculiknya. Dia tidak diberi makan dengan betul selama lebih dua minggu, yang menyebabkan badannya kurus kering. Rambutnya dipotong pendek. Giginya terkeluar kerana dia mengetapkan gigi dengan kuat sewaktu didera oleh penculiknya.
Penyiasatan
Keadaan penderaan yang kejam dan kematian Nurin di tangan penjenayah yang tidak dikenali, dipercayai seorang pembunuh psiko, menyebabkan kemarahan anggota masyarakat seluruh negara.
Media dan blog internet di Malaysia dipenuhi dengan penulisan yang melahirkan rasa ketidakpercayaan terhadap pembunuhan itu yang dianggap ‘pembunuhan paling menakutkan dalam masa beberapa tahun’.
Kes pembunuhan ini turut mengundang kenyataan dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi tentang kemungkinan bagi memaparkan senarai penjenayah seksual kanak-kanak di media. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberitahu bahawa dia bercadang untuk menyiasat kemungkinan ibu bapa Nurin telah cuai, satu jenayah yang membawa kepada pertuduhan di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-kanak 2001.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan orang ramai, lebih-lebih lagi dari Tan Sri Lee Lam Thye, ketika itu Pengerusi Badan Pencegahan Jenayah Malaysia, yang memberi respon bahawa menghukum ibu bapa Nurin seterusnya adalah tidak adil.
Pada 28 September, polis menyerbu sebuah kedai di Seksyen 7, Shah Alam, di mana mereka menahan empat lelaki dan seorang perempuan berumur antara 27 dan 35 tahun berkaitan pembunuhan Nurin. Setelah disoal siasat, perempuan itu dibebaskan manakala empat lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari. Polis kemudiannya mengumumkan ganjaran bernilai RM 10,000 kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Nurin, dan seorang ahli perniagaan yang enggan dikenali turut menawarkan tambahan RM 10, 000.
Pada 2 Oktober, polis menahan seorang wanita Indonesia di sebuah pasar di Nilai, Negeri Sembilan, dan apabila bersemuka dengan polis wanita itu menelan kad SIM telefon yang ada bersamanya. Wanita itu ditahan kerana menghantar SMS kepada bapa Nurin kononnya Nurin berada dalam jagaannya. Polis kekurangan bukti untuk mendakwa wanita itu, namun menghantarnya kepada pejabat imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan.
Pada 11 Oktober , pihak polis mengeluarkan dua rakaman video yang diambil oleh kamera litar tertutup berdekatan deretan kedai di Petaling Utama, Petaling Jaya, di mana beg sukan yang mengandungi mayat Nurin ditemui.
Rakaman tersebut dihantar pada 26 September kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat bagi menjelaskan imej rakaman yang kabur. Rakaman pertama pada jam 1.00 petang, 16 September menunjukkan seorang penunggang motor yang membawa beg sukan dengan mayat Nurin di dalamnya dan meninggalkannya di hadapan kedai.
Rakaman kedua pada satu jam kemudian menunjukkan seorang wanita berlegar di hadapan deretan kedai yang kemudiannya dijemput oleh tiga lelaki yang baru sampai ke tempat itu.
Rakaman itu bagaimanapun, gagal untuk membolehkan wajah penunggang motor mahu pun nombor plat motornya dikenal pasti.
Kes masih dibuka
Menurut Tan Sri Khalid Abu Bakar pada tahun 2009 (ketika itu beliau bertugas sebagai Ketua Timbalan Komisioner Polis Selangor):-
Kami tidak pernah menutup kes-kes lama sehingga ia dikira selesai. Ini bermaksud kami akan terus mencari suspek dan petunjuk-petunjuk baru.
Diolah dari : Wiki