Sudah 60 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan dan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh tokoh kemederkaan kita supaya rakyat hari ini mendapat kebebasan.
Jalur gemilang dicipta oleh Allahyarham Mohamed bin Hamzah. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, sebelum usianya genap 75 tahun, di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Semasa hayat beliau, Allahyarham tidak menerima sebarang pengiktirafan. Allahyarham sendiri merahsiakan identiti beliau sebagai pencipta Jalur Gemilang. Hanya selepas 12 tahun pemergian beliau, baru beliau diiktiraf sebagai pencipta Jalur Gemilang oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2005.
Semasa Allahyarham berusia 29 tahun, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu menganjurkan pertandingan merekacipta bendera bagi Tanah Melayu yang bakal merdeka. Allahyarham yang juga merupakan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya Johor ketika itu telah menyertai pertandingan tersebut.
Para rekaan peserta diundi oleh rakyat pada ketika itu dan keputusan undian disiarkan oleh The Malay Mail pada 29 November 1949 menunjukkan 42% telah memilih rekabentuknya yang menampakkan pengaruh bendera Johor, iaitu negeri asal beliau.
Kemudian ia diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950.