Menjadi penghantar makanan harus berjiwa kental dan sabar dalam mengharungi situasi kehidupan harian dan berdepan dengan pelbagai ragam manusia.
Namun, sejauh manakah kesabaran mereka ketika berhadapan dengan cabaran yang menimpa?
Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang penghantar makanan meluahkan rasa kurang senang dan sakit hati kepada seorang pelanggan yang dipercayai petugas di sebuah hospital Pulau Pinang.
Menerusi posting Facebook Mohd Izz Aizudin Aizudin, dia meluah rasa yang tidak senang akan situasi yang menimpa dirinya.
“Hari ni aku nak meluah rasa sebab dah sakit hati sangat dah. Tadi dalam pukul 7.15 pagi, aku dapat double order (dua pesanan) kat medan selera. Cergas aku gerak, lima minit dah sampai”.
“Tapi macam biasa kena ‘sidai’ (menunggu) 20 minit. Dah siap tekan ‘pickup’ tengok kena hantar ke hospital. Aku dah susah hati sebab reputasi depa (mereka) sebagai orang tersibuk kat Malaysia sampai tak sempat nak alert pada order yang depa buat. Tawakkal je lah kan”.
Dia kemudiannya telah menghantar mesej kepada pelanggan berkenaan sebelum memulakan perjalanan ke hospital itu.
“Lima minit dah sampai. Mana ada rider tak laju. Semua nak ligan (kejar) trip. Tambah-tambah hari ini order perlahan.
“Bila aku buka mesej, tengok tak dibaca (pelanggan) pun. Biasalah kat sini memang tempat paling sibuk kan. Jadi aku call sekali, dua kali, tiga kali tetapi tak berjawab”.
Menurutnya, masanya terbuang selama 15 minit begitu saja tanpa sebarang khabar daripada pelanggan berkenaan.
“Apa lagi nak buat, aku proceed cancel je lah order tu. Dalam tunggu cancel order yang ambil masa 15 hingga 20 minit, mesej masuk”.
“Pelanggan kedua dah bising tanya makanan dia, (katanya) dah lambat tak sampai lagi, anak-anak dia dah lapar. Sedangkan aku tak boleh drop lagi makanan manusia paling sibuk kat Malaysia ni. Jenuh aku nak faham kan”.
Secara tiba-tiba, pelanggan di hospital menghubunginya.
“Dah sampai eh? Cik! Saya dah lama sampai. Okay okay sekejap saya turun. Aku dah tengok jam telefon, dah 8.10 pagi. Maknanya dah 55 minit berlalu aku tak dapat selesaikan satu order pun lagi”.
“Tunggu lagi lima minit, tak sampai-sampai juga. Tiba-tiba notifikasi masuk ‘delivered cancel’. Aku nak tunggu apa lagi, order dah batal, bayaran tak dapat”.
Dia kemudiannya mengambil makanan tersebut dan menyerahkannya kepada pengawal keselamatan di pintu masuk.
“Kepada cik/puan A, makanan yang awak ambil tu percuma ya. Saya sedekahkan. Harap-harap lepas ni awak dan staf-staf lain dapat permudahkan urusan kami para rider cari rezeki”.
Dengan penuh kesal, dia menyampaikan mesej yang deep terutamanya kepada pelanggan yang tidak muncul selepas membuat tempahan.
“Kami tak ada (gaji) basic, tak ada elaun, tak ada OT (kerja lebih masa). Yang ada cuma trip atau jam. Bagi kalian mungkin nampak remeh, tapi bagi kami setiap minit amat berharga”.