Menyimpan hasrat untuk memiliki Hanis Zalikha sejak dibangku sekolah lagi, Hairul Azreen merasa syukur kerana beliau sudah mendapat wanita idamannya selama ini sebagai isteri yang sah dalam satu majlis pernikahan yang diadakan tanggal 5 Jun Jumaat lalu di kediaman keluarga Hanis di Bukit Jelutong.
Hairul yang ketika itu baru berusia 16 tahun mengakui hatinya pantas mahu memiliki Hanis sejak dahulu lagi. Namun, faktor jarak dimana beliau duduk di Serdang manakala Hanis pula di Subang Jaya membataskan pergaulan mereka. Beberapa tahun selepas itu, mereka bertemu kembali selepas Hairul menjuarai Fear Factor musim pertama disamping Dazrin. Â Dazrin juga yang sebenarnya menemukan Hairul dan Hanis kembali.
Sejak dahulu memang dialah wanita idaman saya. Selepas beberapa tahun terpisah, kami bertemu kembali selepas saya menang Fear Factor pada 2013. Melalui Dazrin juga yang membintangi drama Jodoh dengan dia, saya berhubung menerusi telefon bimbitnya. Daripada situ hubungan kami bertaut kembali dan saya cuba memenangi hatinya semula. Dalam tempoh kami terpisah itu, saya akui ada menjejakinya.
Dia ada menang beberapa pertandingan tapi mungkin dia tak pandang saya lagi. Tapi siapa sangka, semuanya bagai takdir indah buat kami berdua. Sebab itu saya berani lamar dia kerana yakin dialah pilihan tepat saya untuk sehidup semati.
Cuma tak dinafikan ketika gimik lamaran Januari lalu diperkatakan ketika berlangsungnya pertandingan akhir GegarVaganza, kami dikecam. Malah ada yang anggap saya hanya main-main ketika itu. Tapi Alhamdulillah saya sebenarnya ikhlas mencintai dia dan membuktikan apa yang saya lakukan ini menjadi realiti.
Berbicara mengenai destinasi bulan madu mereka, Hairul bagaimanapun enggan mendedahkan lokasinya kerana ingin membuat kejutan buat isterinya itu.
Insya-Allah selepas raya nanti kami akan berbulan madu. Lokasinya memang Hanis tak tahu dan ia antara tempat yang saya mahu jejak bersamanya untuk 15 hari.
Inilah yang dikatakan kalau sudah jodoh pasti tidak kemana bukan? Apa yang penting peliharalah hubungan kalian dengan baik dan sering bertolak ansur dalam hubungan rumah tangga. Jangan pernah berkasar dengan isteri, perempuan ini hatinya lembut kalau bercakap elok-elok InshaAllah akan reda sedikit amarah di hatinya.