Setiap tahun, kita pasti akan disajikan dengan pelbagai jenis iklan dan lagu raya betul tak? Ada yang sedih, ada yang lucu, ada yang mengimbau kenangan lama, macam-macam lagilah!
Jadi, tak melepaskan peluang ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd turut hadir dengan iklan raya tersendiri tau. Dengar cerita iklan raya mereka ni sedih, menusuk kalbu. Kalau nak tahu, jom kami kongsikan.
Kisah Hidup Diadaptasi Menjadi Nyata, Selami Keheningan Sehari-Hari Sham
Berbeza dengan iklan raya lain, IWK tampil dengan filem pendek yang diilhamkan daripada kisah benar, berlaku kepada abang daripada seorang kakitangan IWK.
Sebelum itu, korang dah sediakan kotak tisu ke belum? Kalau belum, cepat ambil sekarang dan jom saksikan iklan raya Indah Water Konsortium: Bunyi Sahur.
Iklan ini mengisahkan tentang kehidupan Sham, yang membesar dalam kesederhanaan bersama ibunya, Jah. Manakala, ayahnya, Salleh pula sering tiada di rumah kerana bertugas di perbatasan.
Namun, sejak kehilangan isterinya, Salleh berasa sangat terkesan, lagi-lagi pada Ramadan pertamanya, menyebabkan dia hilang selera untuk menjamah lauk sahur yang Sham sediakan.
Melihat keadaan bapanya yang sedang meruntun jiwa, Sham berusaha mencari cara untuk memulihkan semangat bapanya.
Apakah yang Sham lakukan untuk memulihkan semangat bapanya? Adakah hasrat Sham itu berhasil? Haa, ni dah panjang dah kami cerita ni, kalau korang nak tahu apa yang terjadi, tonton iklan raya IWK: Bunyi Sahur sampai habis!
Bukan Sekadar Ilham, Ia Adalah Pengajaran Buat Semua
Kan kami dah kata iklan raya IWK ni sedih, korang tak percaya…
Tapi, iklan ini bukan sekadar ilham daripada cerita sebenar , ia adalah sebuah pengajaran untuk kita semua mengenali erti bersyukur.
Selain itu, dari iklan raya ini juga kita dapat faham yang kebahagiaan bukan hanya terletak pada kesenangan, tetapi dalam keupayaan untuk menerima, menghargai dan menemukan kebahagiaan dalam setiap pemberian-Nya.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad, beliau merasakan kisah ini terlalu dekat dengan semangat kental warga IWK, yang mana setiap tugasan dihadapi, biarpun kotor, sukar, berbahaya dan berisiko, ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Warga IWK memahami bahawa pekerjaan ini bukan sekadar tugas harian, tapi satu amanah mulia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.
Jadi, menjelang Syawal ini, jangan lupa untuk sentiasa beringat, menghargai mereka yang masih ada dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada tau.