Sebuah keluarga terpaksa hidup dalam kesempitan setelah kehilangan kerja dan hanya bergantung kepada gaji isteri yang bekerja sebagai pembantu jualan untuk meneruskan hidup.
“Ibu bapa mana tidak sedih melihat anak tertidur akibat menahan lapar kerana tiada apa hendak makan”.
Erala Ismail, 45 memberi reaksi dan mencerikan kehidupan dia sekeluarga selepas suaminya Syed Sidiq Abudin Syed Abdul Aziz, 42 yang hilang pekerjaan sebagai pembantu dapur sejak enam bulan lalu.
Kesempitan hidup itu juga menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berhimpit di sebuah bilik kecil berkeluasan kira-kira 219 meter persegi yang disewa di Jalan Munshi Abdullah.
Menurut Erala, suaminya ada mencari kerja lain tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada yang hendak ambil bekerja dan bergantung kepada gajinya sahaja.
“Jika dulu dengan gajinya RM35 sehari dapat membantu menyediakan makan untuk keluarga”.
Kerana tidak sanggup melihat anak mengikat perut, mereka mencuba nasib dengan menggantungkan kain serban sebagai bendera putih di luar tingkap bilik sewa pada petang Selasa lalu.
Keluarga Erala menerima bantuan barangan makanan yang disampaikan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong serta majikan tempatnya bekerja.
“Saya serta suami memang tiada duit langsung, bukan kata RM10 malah RM2 pun tidak ada malah barangan makanan juga sudah habis dan gas yang tinggal cuma cukup untuk memasak air sahaja”.
Erala juga mengakui bilik yang disewa keluarganya itu tidak selesa buat anaknya yang semakin membesar, namun disebabkan masalah kewangan mereka tiada pilihan.