Nurul Shuhada memaklumkan dia akan memberi kerjasama apabila diperintahkan untuk menghadiri perbicaraan kes pukul membabitkan pelakon, Hafidz Roshdi pada Januari tahun hadapan.
Memetik dari Mstar, Shuhada yang kini menetap di Melbourne, Australia bersama anak-anaknya berkata dia masih belum menerima maklumat yang jelas mengenai perintah berkenaan.
Saya sebenarnya terlupa tentang prosiding hari ini (Isnin). Jadi saya tak tahu apa yang berlaku.
Saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Jika perlu hadir, saya akan hadir. Tiada masalah.
Pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada pagi Isnin itu, Majistret Nurul Izzah Hasan Basri telah memerintahkan Shuhada untuk hadir pada perbicaraan kes yang ditetapkan pada 20 Januari 2025.
Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams Hunt memberitahu perbicaraan kes tersebut diteruskan susulan permohonan representasi tertuduh di Jabatan Peguam Negara (AGC) ditolak.
Peguam Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika prosiding turut memohon mahkamah meneliti dokumen diserahkan susulan tertuduh dan pengadu sudah bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Saya sudah menarik kes seperti yang dipersetujui. Bagi pihak saya sudah selesai. Saya tiada kuasa nak teruskan kes ini. Saya tidak boleh beri sebarang komen. – Nurul Shuhada
Pada 13 Ogos yang lalu, mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes pukul Hafidz diteruskan selepas pihak pendakwa memohon ia diteruskan walaupun Shuhada menarik balik laporannya.
Info tambahan, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 Alrpik 2016 dan telah bercerai pada Julai tahun lalu.
Mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata dan menurut Shuhada, anak-anaknya tidak akan ikut pulang ke tanah air memandangkan mereka bersekolah.