Bila disebut nama Aliff Aziz, pasti Abang Nara terbayang betapa banyaknya kontroversi yang pernah melanda penyanyi dari Singapura ini. Bukan itu sahaja, Abang Nara juga akan terngiang-ngiang janji-janji, kata-kata dan ayat-ayat ingin berubah daripada mulut Aliff Aziz yang sekadar menjadi omongan kasut. Jadi tidak peliklah apabila Aliff Aziz berazam untuk berubah untuk kesekian kalinya, kata-kata itu dipandang enteng oleh mereka yang mendengarnya. Mungkin ramai yang sudah muak, jelik dan bosan dengan janji-janji yang tidak pernah ditepati.
Aliff Aziz sendiri mengakui yang dirinya sudah banyak kali melanggar janji. Orang kata, cakap tak serupa bikin. Namun kali ini, di kala usia sudah mencecah 24 tahun, Aliff Aziz melahirkan kesungguhannya untuk berubah. Kata Aliff:-
Sedar juga, sudah banyak kali saya langgar janji sendiri. Cuma, kali ini, usia sudah masuk 24 tahun, semakin dewasa dan saya tahu apa yang dipercakapkan. Kali ini saya cukup serius untuk berubah. Perubahan ini datang secara dalaman, bukan hanya di bibir sahaja. Saya tidak punya alasan lagi untuk tidak berubah.
Orang akan cakap kenyataan saya klise, tetapi dalam hidup memang semua orang buat banyak silap. Saya sangat sedar yang saya perlu terus menghargai insan-insan kesayangan dalam hidup ini. Saya perlu jaga hati mereka yang selama ini saya kecewakan. Tidak boleh kembali kepada kehidupan masa lalu kerana saya bukan lagi Aliff yang berusia 16 tahun, macam masa mula-mula menyanyi dahulu.
Biasalah, bila kita nak berubah ke fasa yang lebih baik, orang akan curiga, orang akan kritik. Pada saya okey sahaja, sebab itu hak mereka juga. Untuk diri saya, bila kita betul-betul ikhlas, lambat laun, orang akan nampak juga.
Di bulan baik ini, diharap Aliff Aziz berpegang pada janjinya untuk berubah dan tidak lagi hadir dengan kontroversi. Cukup-cukuplah kontroversi yang terlalu banyak sebelum ini. Abang Nara yakin ramai yang sudah muak dan bosan dengan kisah-kisah sensasi Aliff Aziz. Fokus betul-betul pada karier nyanyian dan lakonan anda. Jangan sampai sebulan dua nanti, tiba-tiba ada kontroversi pulak. Lepas itu sekali lagi berjanji nak berubah dan benda yang sama berulang kembali. Akhir sekali peminat pun malas nak layan dan buat tak tahu dengan kehadiran anda. Tak gitu? Sumber Utusan Malaysia.
P.S: Mata hampir buta kena jangkitan parasit dari kanta lekap