Seolah-olah telah menjadi ‘trend’ untuk para peniaga meletakkan keju dan kemudiannya menamakan makanan yang dijual mereka sebagai ‘cheese leleh viral’ yang sememangnya membuatkan orang ramai terliur dan ingin mencubanya!
Kebanyakan makanan yang diletakkan cheese leleh ini adalah seperti burger, keropok lekor dan pelbagai lagi.
Namun, perkongsian Facebook Public Health Malaysia (PHM) baru-baru ini telah membuka mata masyarakat mengenai bahayanya sos keju leleh ini kepada kesihatan manusia.
Maklum PHM, kebanyakan keju leleh yang dijual di pasaran pada ketika ini adalah tinggi kandungan garam dan gula dan mengandungi perisa tiruan serta Maltodextrin berbanding keju asli.
Dalam info tersebut, kandungan Maltodextrin yang berfungsi meningkatkan tekstur serta jangka hayat makanan itu sebenarnya mempunyai kandungan glycemic index (GI) yang cukup tinggi dan membolehkan paras gula dalam darah meningkat dengan mendadak.
Dan sudah tentu, ianya merbahaya buat pesakit kencing manis dan boleh meningkatkan risiko penyakit itu bagi mereka yang masih belum dijangkiti.
Selain itu, sos keju leleh ini juga akan menyebabkan kegemukan serta obesiti yang akan menganggu pembesaran serta tahap kecergasan kanak-kanak yang mengambilnya secara kerap dan berlebihan.