Beberapa hari yang lalu tersebar satu gambar kereta jenis Honda Civic Type R FK8 dengan grafik badan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas sebuah lori pengangkut.
Gambar tersebut meninggalkan persoalan kepada netizen adakah ia bakal menggantikan kereta peronda lebuh raya PDRM sedia ada iaitu Mitsubishi Lancer Evo X atau juga dikenali sebagai ‘helang lebuh raya’.
Namun khabarkan kereta tersebut hanya dipinjamkan oleh Honda Malaysia kepada PDRM untuk tujuan ujian sebelum membuat keputusan bagi menggunakannya sebagai kenderaan baharu mereka.
Sekitar 10 lalu, PDRM membeli 25 unit Lancer Evolution X bagi kerja-kerja mengejar dalam kelajuan tinggi seperti kes-kes mencuri kereta, menculik dan juga merampas kenderaan.
Kesemua pemandu ‘helang lebuh raya’ tersebut juga diberikan latihan khas bagi membolehkan mereka memandu jentera berprestasi tinggi tersebut dengan berkesan.
Jika PDRM bersetuju untuk membeli Civic Type R FK8 ini, mereka bakal mempunyai jentera dengan bekalan kuasa 310 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm dari enjin 2.0 liter VTEC Turbo, memacu roda hadapan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Buat masa ini, PDRM telahpun menerima 15 unit SUV Mitsubishi Outlander 2.4 yang disumbangkan oleh syarikat konsesi lebuh raya PLUS tahun lalu bagi digunakan sebagai Peronda Lebuh Raya (EMPVs).
Selain Lancer Evo X, PDRM juga sebelum ini mempunyai berberapa lagi peronda lebuh raya yang sangat cool seperti Proton Satria GTI dan juga wagon turbo Volvo 850 T5.