Kerajaan Malaysia dengan penuh rendah hati mengucapkan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terlibat dalam kejadian gempa bumi yang melanda Myanmar tengah dan utara Thailand semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama negara jiran dan rakan anggota ASEAN yang terkesan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang kehilangan orang tersayang. Doa kami juga kepada mereka yang cedera dan yang sedang terlantar,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial rasmi beliau sebentar tadi.
Beliau turut mengiktiraf keadaan darurat yang telah diisytiharkan oleh pihak berkuasa Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand.
Malaysia, katanya, bersedia untuk menghulurkan bantuan serta menyokong usaha kemanusiaan berdasarkan keperluan semasa.
Semoga proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera, dan semoga kekuatan ikatan negara serantau membawa harapan serta penyembuhan kepada semua yang terkesan.
Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangan terhadap gempa bumi kuat yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan besar di Mandalay, Bangkok, serta kawasan sekitarnya.
Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam yang terperangkap, serta angka korban yang semakin meningkat amat menyedihkan. Kami juga memantau rapat perkembangan di selatan Yunnan, China, di mana gegaran turut dirasai dan kerosakan struktur telah dilaporkan.
Terdahulu, satu gempa bumi dengan skala 7.7 magnitud berpusat di Mandalay, Myanmar telah berlaku sekitar tengah hari semalam.
Mandalay yang mempunyai penghuni seramai 1.5 juta penduduk telah terjejas dari segi struktur serta bangunan bersejarah akibat gegaran kuat itu.
Malah, gegaran itu turut dirasai negara sekitar seperti Thailand dan Malaysia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.