Sepasang doktor telah memfailkan saman sivil berjumlah RM1.2 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini terhadap empat individu, terdiri daripada pemilik dan tiga pengasuh sebuah taska, yang didakwa cuai sehingga menyebabkan anak tunggal mereka mengalami kecacatan dua tahun lalu, memetik Kosmo Online.
Ahmad Syamil Hadi Ibrahim, 31, mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan untuk anaknya, Ahmad Aysar Wildan, yang kini berusia dua tahun enam bulan dan berstatus orang kurang upaya (OKU) akibat insiden pada awal tahun 2023.
Empat defendan dinamakan dalam saman itu, iaitu Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 29; Nur Azreen Mohamad, 24; Nuurakmal Syahirah Abdullah, 35; dan Salawati Sidek, 51.
Raja Noor Iffa Nadia didapati bersalah mencederakan plaintif, manakala Nur Azreen dan Nuurakmal Syahirah adalah rakan sekerjanya. Salawati pula merupakan pemilik taska berkenaan.
Berdasarkan writ saman yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan Rafaei & Co, kejadian berlaku di Taska Atie Hanna, Batu Burok, yang dimiliki Salawati, antara 1 Januari hingga 3 Januari 2023.
Menurut peguam Mohd. Hazwan Hamidun, yang mewakili plaintif, Ahmad Aysar Wildan mengalami pendarahan pada kedua-dua retina serta otaknya akibat keretakan pada bahagian kiri tengkorak.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam taska berkenaan merekodkan kejadian tersebut. Salawati juga didakwa gagal memastikan pengasuh di taskanya mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan.
Sebelum ini, Kosmo! pada 11 Januari 2023 melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma akibat kecuaian pengasuh di sebuah taska di sini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.