Walaupun menjadi pilihan jutaan rakyat Malaysia setiap hari, jarang sangat kita dengar tentang penyediaan nasi campur. Apa yang kita semua tahu, ambil nasi, pilih lauk, bayar dan terus makan.
Ini adalah kisah kak Ayu seorang pengusaha nasi campur di restoran miliknya sendiri yang terletak di Kluang, Rawang.
Setiap hari bagi menjamu selera pengunjung di restorannya, kak Ayu akan bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat persediaan.
Beliau biasanya akan di bantu oleh ibu, adik, dan beberapa orang pekerjanya.
Tugasan pertama Kak Ayu setiap hari pergi ke kedai runcit untuk membeli bahan mentah segar seperti ikan, ayam, sotong, sayur dan juga daging.
Selepas selesai membeli keperluan bahan mentah beliau akan segera membawa pulang segala bahan mentah untuk disediakan puluhan hidangan lauk-pauk.
Lauk pauk ini harus disediakan segera bagi pelanggan yang bakal mengunjungi restorannya sebentar lagi pada waktu kemuncak.
Sesampai di restoran, bukanlah masa untuk kak Ayu berehat. Dia harus terus memulakan tugasan keduanya iatu membuat persediaan untuk memasak lauk pauk, nasi campur, menyiang ikan, memotong bawang, serta menghiris sayuran-sayuran.
Ia adalah antara beberapa perkara asas yang perlu dilakukan oleh kak Ayu setiap hari.
Sesekali kak Ayu menghela nafas tanda kepenatan namun mulutnya tidak lekang dari senyuman setiap kali memandang wajah semua orang yang mengunjungi kedainya. Kak Ayu akan sentiasa bergandingan dengan ibunya dalam menyediakan lauk pauk setiap hari.
Tepat jam 6 pagi, suasana di restoran kak Ayu semakin sibuk. Sesekali kak Ayu akan meninggikan suara untuk memberikan arahan kepada pekerjanya.
Ketangkasan kak Ayu jelas terserlah bagi memastikan segala lauk pauk yang bakal dihidang dapat memenuhi selera semua pengunjung.
Jam menunjukkan tepat 11.30 pagi, restoran kak Ayu mula dibanjiri pengunjungnya. Ternyata kak Ayu cukup berpengalaman setelah bertahun-tahu mengusahakan restoran miliknya ini.
Saya berniaga sudah lebih 11 tahun dari tapak kecil sekali macam gerai satu khemah, api air pun tiada. Tetapi kita kuat ingin berniaga dan suami banyak menyokong saya. Tidak perlu berkerja dengan orang lain.
Kita berniaga kecil-kecilan, dulu pernah kerja kedai makan. Bila dah macam ni kita dah ada kawan. Mula-mula berniaga satu tin susu satu hari pun dah habis. Hari itu kita dapat duit lebih sebanyak RM15 sahaja.
Saya tak mampu nak bayar gaji pekerja. Bila perniagaan sudah berkembang, hari kedua habis 3 tin. Hari ketiga habis 5 tin. Macam tulah nak naik.
Setiap minit berlalu, kelibat kak Ayu semakin rancak. Jam 1 tengahari adalah detik yang paling sibuk dalam hari kak Ayu. Berpusu-pusu manusia masuk ke restorannya untuk menikmati keenakan lauk pauk nasi campur yang dimasak olehnya.
Kak Ayu nampak jelas kepenatan namun mulutnya tidak lekang mengucapkan terima kasih kepada para pelanggannya.
Hampir jam 3 petang, barulah kak Ayu dapat berehat sebentar bagi menghilangkan sedikit kepenatan.
Ketika ditanya mengenai makanan lebihan di kedainya selepas waktu makan tengah hari, Beliau selalunya akan memberi kepada pekerjanya untuk di bawa pulang dan diberikan kepada jiran tetangganya.
Saya biasanya jika makanan tidak habis tu, kami bungkus-bungkus bagi kepada pekerja mana yang patut seperti ikan sambal, ikan goreng atau ikan masak lemak. Kita bungkus, mula-mula kita panaskan dulu semuanya untuk diberikan kepada pekerja dan pada jiran-jiran.
Beliau juga memberitahu bahawa tidak pernah menjual makanan lebihan semalam kepada pelanggan untuk setiap hidangan di kedainya.
Tak ada sampai makanan busuk kita jual. Insyallah kita jaga semuanya.
Ianya bukan satu tugas yang mudah, namun ia dilakukan dengan hati yang suci dan murni demi sesuap nasi buat diri mereka juga.
Katanya, pada umur 41 tahun ini selagi beliau masih kuat akan meneruskan perniagaan ini.
Saya sekarang dah berumur 41 tahun, Insyallah selagi saya kuat itu masih ada kesempatan lagi. Insyallah saya masih berniaga.
Beginilah kehidupan kak Ayu sebagai seorang pengusaha restoran nasi campur. Semoga pembongkaran ini, kita akan lebih menghargai penat lelah mereka yang terlibat dalam menyediakan juadah makan tengahari kita setiap hari.