Tular di media sosial Twitter apabila seorang pengguna aplikasi itu yang dikenali sebagai @chairman_GLC berkongsikan mengenai kisah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun telah menjadi korban rogol abang kandungnya sendiri sehingga hamil.
Anak gadis itu juga dilaporkan telah dihalau oleh ibu bapanya sendiri kerana telah menyebabkan keluarganya ditimpa aib dan malu akibat kejadian itu.
Perkara itu didedahkan oleh seorang doktor di Pantai Timur dan mangsa kini difahamkan hamil tujuh bulan manakala si abang yang berumur 16 tahun telah dihantar ke sekolah pondok.
Menurut untaian tweet itu, ibu bapa mangsa pada mulanya ada membuat laporan polis namun menarik balik kerana bimbang anak lelaki mereka dimasukkan ke penjara.
Manakala anak perempuan yang hamil itu kini tinggal bersama keluarga angkat yang baru dikenali kerana enggan penduduk kampung mengetahui kejadian tersebut.
Ketika ditanyakan mengenai perasaan anak gadis tersebut, remaja itu memaklumkan bahawa dia berasa marah dengan abangnya dan dalam pada masa yang sama sedih kerana tidak dapat bersekolah seperti remaja seusianya.
Next update: The brother who raped the girl has been sent to sekolah pondok. She has 2 more sister siblings living in the same house.
— Abah (@chairman_GLC) January 20, 2022
Perkembangan lain, pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) telah mengambil maklum mengenai kejadian tersebut dan laporan polis juga telah dibuat oleh pihak hospital sebelum ini.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa marah dengan kejadian yang menimpa remaja tersebut dan menyalahkan ibu bapa mangsa kerana terlalu memanjakan anak lelaki yang terang-terang telah melakukan jenayah seksual.
“Tak faham dengan orang yang mengagungkan anak lelaki, sayang tak mahu anak masuk jel, adik pula dicampak jauh-jauh. Bukan dia minta kena rogol.” luah seorang netizen.
Dalam pada itu, difahamkan sudah ada individu yang bersetuju untuk mengambil bayi yang dikandung mangsa sebagai anak angkat apabila lahir kelak.