Setelah hampir genap 8 bulan pemergian Allahyarham Abam Bocey, isteri kepada arwah iaitu Nor Hidayah mengakui perjalanan hidupnya sukar tanpa insan disayangi di sisi.
Sentiasa menguatkan diri dan cekal hati dalam mengharungi hidup bersama anak tunggal mereka, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, Hidayah terpaksa menahan kerinduan kepada orang yang telah pergi.
Meluahkan rasa bercampur baur menerusi ruangan instagram miliknya baru-baru ini, Hidayah berkata dia masih memegang janji dan amanat yang ditinggalkan oleh arwah.
“Sayang cuba teruskan hidup tanpa abang di sisi..sangat sukar, sangat susah dan sangat sakit nak lalui semua tapi kekuatan sayang, keluarga…Alhamdullilah sayang bangun untuk capai impian kita.Sayang akan pegang semua amanat abang untuk menjaga anak kita sebaik-baiknya, Insyallah!”
Dalam pada itu, Hidayah sempat mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana telah berjaya membuka sebuah kedai makan hasil daripada doa orang ramai yang sentiasa menyokong dirinya ketika susah dan senang.
Mengimbas kembali, Nor Hidayah dan Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Mohd Redzuan telah melangsungkan perkahwinan pada tahun 2017 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun dua bulan.
Allahyarham Abam telah meninggal dunia pada 10 Februari lalu setelah dua hari mengalami demam panas.