Dikenali sebagai pasangan yang cukup mesra bersama, ramai yang terkejut apabila Hafreez Adam mengumumkan ikatan pertunangannya dengan aktres Zara Zya sudah terlerai sejak bulan lalu hanya selepas sebulan mereka bertunang.
Jelas Hafreez, perasaan kecewa membuatkan dia nekad memutuskan tali pertunangannya dengan Zara. Malah, sebelum ini dia dan Zara sudah beberapa kali cuba menyelamatkan hubungan mereka namun tiada jalan penyelesaian.
Ya, betul. Kami dah putus tunang. Kami dah cuba untuk selamatkan hubungan ini tetapi sebab kami tak nampak ia boleh diselamatkan lagi.
Sebab itulah keputusan untuk berpisah ini dibuat dan bagi saya, ia dibuat secara matang. Kami tak bergaduh pun dan saya akui, keputusan untuk putus itu datang daripada saya. Saya yang memilih untuk take time off.
Lama menyulam cinta, Hafreez akui dia masih sayangkan bekas tunangnya itu. Bagaimanapun, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak meneruskan perhubungan.
Benda ini terlalu baru. Sayang terhadap Zara itu masih ada cuma dalam masa sama, kecewa, ralat itu semua ada. Cuma saya tak mahu berfikiran negatif jadi saya anggap mungkin Tuhan nak saya ada dengan keluarga ketika ini.
Saya akui memang Zara pernah cakap dengan saya kalau boleh dia tak nak putus tunang. Tapi untuk saya sangat susah. Buat masa ini, lebih baik saya fokus kepada ahli keluarga dan kerjaya sahaja. Lagi pula, ayah baru meninggal dunia beberapa bulan yang lalu.
Hafreez dan Zara sebelum ini merencana untuk mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun hadapan. Tidak mengapalah, jodoh mereka sudah tertulis setakat ini sahaja, mungkin keputusan putus tunang ini adalah yang terbaik buat mereka berdua.