Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya, itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan tindakan Ammar Titan yang mempersendakan nama mendiang bapa, Watson Nyambek menerusi rancangan Sukan Tak Sentral.
Meskipun pihak Primeworks Studios Sdn Bhd dan Ammar sudah meminta maaf secara terbuka, pelari pecut negara itu tetap tidak dapat menerima segala permohonan maaf tersebut kerana terlalu tersinggung apabila bapanya dipandang seperti haiwan.
Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di TV serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini susah hendak menerima maaf itu. Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?
Mungkin suatu masa nanti, hati saya akan terbuka…dan saya akan menerima kemaafan ini. Jadi sekarang saya belum hendak menerima (permohonan) maaf. Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan.
Terus-terang, secara sengaja atau tidak, tiada siapa di dalam dunia ini harus mempermainkan ataupun mempersendakan nama bapa orang lain. Malah, bapa Watson Nyambek juga ada usahanya dalam mendidik pelari pecut negara itu untuk menjadi seorang atlet yang terbaik dan mengharumkan nama Malaysia.