Fuh. Romantis sungguh kata-kata yang terkeluar daripada mulut Tasha Shilla mengenai hubungan percintaannya dengan Han Chen Wong. Kalau selama ini Tasha merahsiakan hubungan mereka, kali ini menerusi BiPop, Tasha mengakui dirinya tidak pernah rasa sebahagia ini sebelum bertemu Han. Senang cerita, memang Tasha sedang mabuk dilamun cinta peninju Muay Thai berbangsa Cina ini.
Sering menemani Tasha Shilla ke mana-mana, Hans baru berusia 24 tahun dan hubungan mereka berdua sudah pun mencecah 8 bulan. Menurut perancangan, Tasha dan Han bakal mendirikan rumahtangga tahun hadapan. Abang Nara sendiri dapat merasakan kebahagiaan yang sedang dikecapi Tasha apabila membaca kata-katanya:-
Saya tidak pernah rasa sebahagia ini. Dulu saya akui pernah berkawan dengan beberapa lelaki, tetapi perasaan cinta tidak pernah wujud. Mahu mengaku bercinta pun mulut saya berat mahu menyatakannya. Hari ini saya tidak malu berbicara soal hati, sememangnya saya dilamun cinta. Cinta yang tulus dan ikhlas.
Saya jatuh cinta dan ingin hidup bersamanya. Saya tidak mampu membohongi hati dan perasaan saya. Kali pertama bertemu, saya suka dengan sikapnya yang cool. Saya mengenali Han menerusi seorang teman, kami bertemu di satu lokasi bersama rakan-rakan tahun lalu.
Ketika kali pertama bertemu, saya sudah bertanya adakah dia ingin memeluk Islam? Han dengan jujurnya cakap OK. Saya bukannya apa, saya sudah malas buang masa nak bercinta tapi hubungan tiada hala tuju. Awalnya hubungan kami tidaklah serius sangat, tapi apabila semakin mengenali, saya makin jatuh cinta dengan keperibadiannya.
Romantik juga Tasha Shilla ini kan? Hehehe. Memang kembang hidung Han kalau membaca kata-kata pujian daripada kekasihnya itu. Menariknya Han rupa-rupanya tidak mengetahui yang Tasha Shilla merupakan seorang selebriti. Terang Tasha lagi:-
Han tidak mengetahui saya seorang selebriti ketika kali pertama kami bertemu. Ketika itu Hans baru saja pulang ke Malaysia selepas 2 tahun tinggal di Bangkok dan Phuket. Apabila temannya memberitahu, dia terus cari nama saya dalam carian Google. Di situ dia tahu siapa saya dan cerita kontroversi yang pernah menghimpit saya.
Bagaimanapun Han tidak kisah. Saya sudah menerangkan padanya satu persatu. Dari kisah dituduh gadis liar, dikaitkan dengan lelaki itu dan ini serta paling teruk, difitnah kena tangkap khalwat, semuanya Han tahu. Maklumlah perjalanan kerjaya saya tidak pernah sunyi daripada kontroversi.
Baguslah sudah tiada rahsia antara Tasha dan Hans. Hubungan percintaan sememangnya harus begitu. Abang Nara gembira apabila Tasha nampak bahagia bersama Han. Bukan senang nak menjumpai cinta sejati. Semoga hubungan Tasha dan Hans akan berjaya ke jinjang pelamin seperti yang diimpikan. Pasti ramai yang tak sabar mahu melihat Tasha bersanding bersama Han. Tak sabar rasanya nak tunggu tahun depan.