Meskipun tidak mendapat kemudahan seperti pelajar lain yang menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), dua banduan dari Sekolah Integrasi Marang berjaya membuktikan ia bukan satu halangan untuk mencapai kejayaan.
Gigih berusaha mengulangkaji
Memetik laporan Berita TV3, Aiman, 20, bukan nama sebenar, berasa amat bersyukur apabila mendapat keputusan cemerlang 8A dalam SPM 2023. Meskipun sedang menjalani hukuman penjara selama setahun tujuh bulan, dia tetap bertekad untuk mengubah nasib dan cuba sehabis baik bagi menduduki peperiksaan tersebut.
Kalau berbanding pelajar lain di luar sana, saya di sini tiada telefon tiada rujukan untuk mengulangkaji.
Sangat sukar, tetapi apa yang boleh saya buat ialah berusaha bangun setiap malam, bertahajjud, solat hajat, serta berdoa dan fokus ketika belajar, selebihnya saya berserah kepada Allah.
Hadiah buat ibu bapa
Sementara itu, rakannya, Asraf, 20, bukan nama sebenar, yang sedang menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun itu turut menyatakan rasa syukur dengan memperoleh keputusan 4A.
Katanya, walaupun tiada rezeki mendapat keputusan cemerlang seperti Aiman, namun dirinya tetap merasa sebak kerana dapat memberi hadiah kepada ibu bapanya dengan keputusan tersebut.
Sebagai seorang kawan saya bangga dengan kawan saya (Aiman) tu tapi saya tak pernah rasa cemburu, walaupun berbeza 8 dengan 4 tapi saya rasa itu dah cukup hadiah pada saya itu antara pemberian untuk keluarga pada ibu saya.
Sekadar info, Aiman dan Asyraf merupakan calon peperiksaan SPM dari Sekolah Integrasi Marang yang telah menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun lalu.