Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, membuat laporan polis terhadap TV3 dan penerbit program Sukan Tak Sentral kerana dikatakan menghina mendiang bapanya.
Program itu yang diterbitkan Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios), disiarkan oleh TV3. Watson, 41, yang ditemani isterinya Phylis Watson membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri, jam 10 pagi tadi.
Watson ketika ditanya media berkata pihaknya tidak akan menarik laporan polis meskipun perjumpaan akan dilakukan antara beliau dan pihak stesen televisyen yang terlibat hari ini.
“Saya akan tetap meneruskan tindakan undang-undang kerana ia berkaitan maruah keluarga saya,” katanya.
Laporan polis yang dibuat oleh Watson berkata dia mahu pihak polis menyiasat insiden berkenaan kerana beliau mahu tahu motif sebenar pengacara tersebut.
“Saya juga mahu pihak polis menyiasat kes ini kerana mahu tahu motif sebenar pengacara rancangan tersebut dan mahu mengambil tindakan lanjut terhadap pengacara rancangan tersebut, penerbit, pihak TV3 dan semua pihak yang terlibat menerbitkan rancangan tersebut,” tulis laporan itu.
Sumber : BH Online, Harian Metro