Saya Tanggung Semuanya Sepanjang Kami Kahwin. Satu Sen Pun Suami Tak Beri Kat Keluarga.

Trending

Saya Tanggung Semuanya Sepanjang Kami Kahwin. Satu Sen Pun Suami Tak Beri Kat Keluarga.

Perempuan kena baca sampai habis. Ambil sebagai pengajaran. Inilah sebab utama mengapa anda perlu mencari lelaki yang bertanggungjawab. Tidak mengapa kalau pasangan anda kurang dari segi akademik atau gaji sikit. Yang penting mesti kena ada tanggungjawab.

Advertisement

Selain itu, berhati-hatilah sebab lelaki sekarang pandai mengambil kesempatan dimana ada segelintir yang mempergunakan perempuan untuk mereka punya financial security.

Suami ambil kesempatan, suruh isteri tanggung semua

Saya baru lepas bercerai dengan suami dan saya keluar dari rumah selepas habis berpantang. Bekas suami belajar sampai SPM dan terus kerja dan saya pun sama, cuma bezanya saya ada degree.

Sepanjang perkahwinan kami, saya yang menanggung segala-galanya dari A ke Z.

Bukanlah mahu memburukan suami kerana dia belajar setakat SPM sahaja. Cuma sebagai perempuan, kita kena fikir betul-betul kalau nak cari suami.

Kadang-kadang bila suami kita ini hanya setakat ada SPM dan berpendapatan kecil, mereka suka mengambil kesempatan.

Mereka kahwin cuma semata-mata mahu mencari orang yang boleh bantu mereka, tanggung segala-galanya. Di kesempatan itu dia boleh buat apa yang dia suka sehingga nafkah pun tak bagi.

Hal rumahtangga dan segala apa semua diuruskan oleh isteri.

Dia hanya balik rumah untuk minta nafkah batin dari isteri. Bila tak bagi, dia mula mempersoalkan tentang wajib untuk tunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Isteri dipaksa buat pinjaman peribadi RM50,000 untuk bayar hutangnya

Dan sekarang kakak saya pun mengalami masalah yang sama.

Suami dia hanya belajar setakat SPM, manakala dia pula ada degree. Suami dia banyak hutang sehingga memaksa kakak saya buat pinjaman bank RM50,000 untuk langsaikan hutang dia. Suami dia tak tanggung apa-apa pun, malah anak sendiri juga tak ditanggung.

Sampai suami dia ambil pisau dan paksa kakak saya bunuh dia sebab kakak minta cerai darinya.

Kakak saya minta cerai pun sebab tak mampu nak tolong dia selesaikan masalah hutang dia. Kakak dah limit buat pinjaman peribadi semata-mata nak tolong bayar hutang dia keliling pinggang.

Entahlah, mungkin perempuan sekarang kena berhati-hati memilih suami.

Adakalanya lelaki ini cuma nak cari penyelamat masa depan dia saja. Bila dapat isteri yang bekerjaya, kemudian lepas tangan sebab bagi mereka isteri boleh berdikari dan ada duit.

Bila minta cerai, suami jaja cerita kononnya isteri ada lelaki lain

Bila minta cerai, dia kata isteri tinggalkan dia semasa dia susah.

Padahal tak sedar diri ke dari dulu dia susah pun, isteri dia yang menanggung semua benda. Ini sebab tak tahan lagi nak menanggung semua masalah yang dia buat, sebab itu terpaksa bercerai juga.

Bila saya berhenti kerja, dia tak bagi sebab katanya siapa nak bantu dia sara keluarga?

Bila saya minta cerai, dituduhnya macam-macam. Sampai keluarga sendiri pun buang saya sebab dia buat cerita kononnya saya minta cerai kerana ada orang ketiga.

Padahal dia menutup kesalahan diri sendiri. Sedangkan sekelumit perkara buruk mengenai dia pun saya tak pernah cerita pada ibu bapa kami berdua.

Sebelum bercerai, pernah berbincang dengan dia mengenai masalah ini tetapi dia kata saya yang perlu memahami dia, kerja dia atas sebab kononnya dia sedang usahakan perniagaan. Jadi semua duit gaji dia dilaburkan pada perniagaan itu.

Satu sen pun dia tak bagi pada keluarga walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.

Luangkan masa bersama keluarga pun tak ada. Nafkah zahir pun tak ada. Tetapi nafkah batin pandai pula dia minta sebab tanggungjawab isteri.

Soal bersalin, berpantang, semuanya uruskan sendiri tanpa suami

Ketika saya hamil lima bulan, dia ajak saya pergi menghadiri kenduri di Kuala Lumpur.

Saya kata tak larat sebab tak sihat, lagipun perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur agak jauh. Dia boleh kata saya menipu sebab tak nak pergi dengan keluarga dia.

Kemudian petang itu saya memandu seorang diri pergi ke klinik dan doktor kata saya kena demam campak. Akhirnya saya pergi ‘check in’ di hospital seorang diri, siap bawa pakaian.

Doktor dan jururawat semua tanya, “datang daftar seorang-seorang ke?”. Hahaha! Dengan perutnya, kena demam campak dan daftar masuk hospital sendiri.

Bila dah selamat bersalin, anak kena penyakit kuning.

Suami ketika itu lebih rela pergi meeting dari bawa anak pergi ke hospital.

Katanya meeting lagi penting. Kalaulah saya boleh memandu ketika itu, memang saya pergi sendiri. Nasib baik saya tak meroyan ketika dalam pantang.

Dia balik rumah pada waktu maghrib dan nak bawa anak pergi hospital.

Tetapi saya tak bagi sebab dah malam. Kemudian esok pagi bawa anak pergi hospital swasta dan saya bayar semua bil beribu-ribu itu.

Masa berpantang, saya jaga anak seorang diri dan macam nak gila rasanya. Dari awal bersalin sampailah anak dah besar. Habis pantang 44 hari, baru saya pergi buat surat beranak anak sebab ayah dia terlalu sibuk dengan bisnes juta-juta dia.

Sekarang dia sibuk nak minta anak bawa balik ke rumah sebab kasihan pada datuk dan neneknya.

Padahal saya yang terlantar sakit, penat lelah langsung mereka tak ambil tahu. Masa anak masih merah lagi, dia langsung tak jenguk dan jaga anak saya.

Bila anak dah pandai main, sihat dan gemuk macam bola, sedap dia minta dan baru mengaku anak. Kalau tak, sebelum ini tak nak mengaku anak sebab saya minta cerai.

Masih jaja cerita isteri minta cerai sebab tak sanggup hidup susah bersama

Susahnya hidup saya pada ketika itu.

Mula-mula memang struggle keluar rumah bawa pakaian saja. Sudahlah kena tanggung hutang dia atas nama saya. Tapi lama-kelamaan, Alhamdulillah. Tak banyak duit tak apa, asalkan hati tenang dan bahagia.

Di depan orang, gaya dia bercakap macam berjaya sangat buat itu ini.

Padahal saya yang menanggung segala-galanya. Duit belanja dia pun saya yang bagi selama bertahun-tahun sedangkan dia kerja dan sekarang bila dah cerai pun, duit nafkah anak sesen pun tak bagi. Saya dah jadi macam pengemis kalau nak suruh dia jumpa anak.

Paling ‘best’, dia jaja pada semua orang yang saya minta cerai dari dia kerana saya tak sanggup lagi hidup susah dan kerana dia cuma dapat gaji tarar SPM, bukannya degree seperti saya. Geram saya dibuatnya.

Kalau setakat tak boleh hidup susah, buat apa nak tanggung dia lama-lama?

Baik dari dulu lagi saya dah minta cerai. Lelaki ini ego dan dia tak mahu berubah. Bila ditegur, dia pula yang kata kita kena terima diri dia seadanya.

Perkahwinan bukan senang seperti angan-angan Mat Jenin

Itulah saya nak ingatkan kaum lelaki di luar sana, kalau dapat isteri bekerjaya, jangan ambil kesempatan terhadap mereka. Kebanyakan pasangan bercerai sebab suami mengambil kesempatan pada isteri yang bekerja, sebab mereka tak perlu bagi nafkah.

Kahwin nak, tetapi tak nak galas tanggungjawab.

Kemudian bila cerai, salahkan isteri kononnya tak boleh hidup susah bersama-sama. Tetapi dia senang seorang diri saja. Gaji dia untuk diri dia saja. Tetapi gaji isteri untuk tanggung semua. Mentang-mentang gaji isteri lebih banyak dari gaji dia.

Bukan semua lelaki begitu tetapi kebanyakannya begitu.

Sebelum kahwin, pandai bercakap semua sanggup tanggung. Tetapi bila dah kahwin, lain jadinya. Alhamdulillah saya dah tak hairan dengan lelaki sebab dia yang ajar saya untuk hidup tanpa suami. Baguslah, kan?

Saya sekadar berkongsi pengalaman sebab sekarang ramai yang suka berangan-angan nak jadi Cinderela, kahwin dengan anak rajalah dan bahagia sampai hujung nyawalah apa semua. Semoga orang ramai sedar bahawa perkahwinan ini bukan senang seperti angan-angan Mat Jenin saja.

Sumber : Auni Ameera 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...