Pelakon dan pengarah berbakat besar, Nam Ron mengakui rasa seronok dan teruja apabila diberi peluang buat pertama kali untuk berjalan di atas pentas peragaan sebagai model.
Nam Ron atau nama sebenar, Shahili Abdan tekad menyahut cabaran menjadi model memperagakan pakaian daripada jenama Neonate.
Nam Ron, 52, berkata dia mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dia lakukan sebelum ini walaupun mengakui bimbang akan diketawakan penonton.
Mula-mula bimbang juga, risau takut orang gelak sebab ada ‘model tua’. Waktu berjalan, takut pula tersadung kaki dan jatuh tersungkur. Itu benda yang paling saya risau. Tapi bila dah yakin, baru saya rasa okay.
Pelakon filem Roh itu berkata dia terbuka untuk menerima pelawaan daripada generasi baharu kerana menganggap dirinya tidak pernah tua.
Tambahnya lagi, dia sentiasa berkawan dengan orang-orang muda. Malah, kawan-kawannya sendiri kebanyakannya berusia sekitar 20-an hingga 30-an.
Sebab itu jiwa saya muda sebab saya suka benda-benda yang orang muda buat. Saya tidak tua. Tua itu hanya pada nombor. Saya sentiasa meletakkan diri saya sebagai orang muda, jiwa muda.
Nam Ron menganggap berkawan dengan orang muda juga boleh menyuntik perkara-perkara baharu dalam lakonan kerana jiwa orang muda ini, mereka mempunyai jiwa yang panas dan mahu melakukan bermacam-macam benda dan terokai pelbagai perkara.
‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.