Bapa kepada penyanyi cilik popular, Amad dan Umairah iaitu Saiful Anuar tampil menafikan dakwaan kononnya dia menuduh bekas isteri, Saerah, mengerah anak-anak mereka bekerja.
Menurut Saiful, hantaran di Instagram miliknya yang kini telah dipadam sebenarnya ditujukan kepada individu lain yang mengawasi anak-anaknya, bukannya kepada Saerah.
Saya tak salahkan Saerah. Saya hargai dia menjaga anak-anak saya. Saya tiada masalah dengan Saerah. Tetapi ada individu yang mengawal sehingga hubungan saya dengan Amad menjadi renggang. Nak jumpa anak pun terbatas.
Saiful menegaskan luahan tersebut hanyalah kerana rasa marah dan bukannya ditujukan kepada bekas isterinya.
Risau Aktiviti Anak Diketahui Melalui Media Sosial
Tambah Saiful, perkara yang merisaukannya kini adalah kerana dia tidak mendapat maklumat langsung tentang aktiviti anak-anaknya selain daripada melihat di media sosial.
Saya bimbangkan Amad. Dia masih bersekolah. Belum masanya untuk dia betul-betul mencari rezeki. Memang tidak dapat dinafikan rezeki Amad sekarang mencurah-curah dan sedang popular.
Tetapi kalau boleh janganlah biar dia bekerja waktu persekolahan. Kena ada jadual yang betul supaya persekolahannya tidak terganggu. Janganlah dikerah sampai lembik budak tu. Risau saya.
Jelas Saiful lagi, dia bukanlah mengejar wang hasil kerja anak-anaknya, sebaliknya hanya mahu tahu perkembangan mereka.
Beliau juga mendedahkan bahawa sejak lahir sehingga usia lapan atau sembilan tahun, ketiga-tiga anaknya berada dalam jagaannya sebelum berpindah untuk tinggal bersama Saerah.
Nafi Mahu Menumpang Populariti Anak
Saiful menolak tanggapan segelintir netizen yang mendakwa dia mahu menumpang kesenangan anak-anaknya.
Kalau betullah saya nak menumpang, mesti saya akan kena lagi teruk. Sebagai seorang bapa saya tidak mengharapkan apa-apa daripada anak saya.
Saya cuma mahu dia selamat. Saya mahu perjalanan hidup dia teratur. Pelajaran sangat penting. Kita tak tahu macam mana masa depan dalam bidang seni. Andai satu hari nanti, rezeki dalam bidang muzik sudah tiada, sekurang-kurangnya dia ada pelajaran.
Menurutnya, Amad kini bersekolah di sekolah sukan dan aktif dalam permainan takraw sehingga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik.
Amad pula merupakan pelajar di sekolah sukan dan dia aktif bermain takraw dan dia merupakan pemain terbaik. Ini membuatkan saya lagi kecewa. Kerana dia mungkin berpeluang untuk mewakili Malaysia satu hari nanti.
Terdahulu, perkongsian Saiful di Instagram pada Sabtu lalu mencuri perhatian ramai selepas dia mendakwa tidak dapat bertemu anaknya ketika membuat persembahan di Kuantan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.