Penyanyi rap wanita sensasi global, Cardi B, baru-baru ini mencuri perhatian apabila berkongsi pendapatnya mengenai kehidupan sebagai seorang Muslim, terutamanya dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Menerusi sesi siaran langsung dengan peminat, Cardi atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almánzar, 34, menyatakan bahawa dia tidak dapat membayangkan dirinya menjalani ibadah puasa, lebih-lebih lagi menahan lapar dan dahaga sepanjang hari dalam bulan Ramadan.
“Untuk peminat saya beragama Islam yang sambut Ramadan, saya nak cakap, Tuhan memang takdirkan saya tak lahir sebagai seorang Muslim,” ujar Cardi B.
Tambahnya, walaupun hanya menahan lapar selama tiga jam, dia sudah merasa kesukaran. “Kalau saya bangun tidur dan tak makan selama tiga jam, otak saya akan sakit, akan dengar banyak suara-suara pelik. Saya memang tiada kekuatan untuk menjadi seorang Muslim,” katanya dengan nada bersahaja.
Dalam potongan video tersebut, Cardi B dilihat sedang menikmati kentang goreng dengan sos selepas selesai konsert jelajah Little Miss Drama Tour, sambil berbual santai dengan para peminatnya.
Walaupun tidak dapat membayangkan dirinya berpuasa, Cardi B mengakui sangat mengagumi semangat umat Islam yang sanggup berkorban apa sahaja, termasuk menahan lapar dan dahaga demi mengabdikan diri kepada Tuhan.
“Saya tak boleh hidup dalam kelaparan. Muslim boleh korbankan apa sahaja termasuk makanan, minum dan segala-galanya untuk Tuhan mereka. Mereka sangat sayang Tuhan mereka. Saya kagum apabila orang setia dan taat kepada Pencipta-Nya,” kata Cardi dengan penuh penghargaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
