Pengarah terkenal, Shuhaimi Lua memaklumkan bahawa dia tidak kisah dikritik netizen yang menganggapnya sebagai seorang sutradara yang gemar menampilkan pelakon lelaki tidak berbaju dalam setiap naskah drama keluarannya.
Kata Shuhaimi, perkara itu bukanlah tindakan yang dilakukan secara sengaja kerana dia juga sudah berbincang dengan pelakon lelaki terlibat sebelum meminta mereka melakukan aksi sebegitu.
Dia yang ditemui mStar Online berkata lanjut mengenai syarat dan panduan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang sudah diketahuinya semenjak dia menceburkan diri dalam bidang pengarahan filem dan drama.
Ramai yang kata saya suka telanjangkan artis dalam drama. Sebenarnya tidak! Saya tahu syarat-syarat yang telah ditetapkan LPF. Jadi apa yang saya buat tidak melanggar mana-mana peraturan.
Saya juga memberi pilihan kepada para pelakon untuk buka baju atau tidak. Saya akan buat jika mereka tidak ada masalah.
Terdahulu, isu pelakon lelaki tidak berbaju ini mulai menjadi perbualan netizen gara-gara penyanyi Noki muncul dan turut ‘belanja’ peminat di luar sana dengan adegan tidak berbaju dalam sebuah drama berjudul Oh My Hantaran.
Selain itu, pelakon Fadlan Hazim pula muncul dengan adegan sama dalam drama terbaharu berjudul Chinta Arjuna arahan pengarah terkenal itu.
Dalam pada itu, Shuhaimi berkata bahawa dia tidak terkesan dengan kata-kata netizen serta menganggap penonton di luar sana sudah cukup ‘bijak’ dan tidak menilai sesebuah karya itu dari satu babak sahaja.