Penyanyi sensasi, Baby Shima tampil menyelar penghibur yang ‘mencuri’ dan menggunakan minus one yang dicipta khas untuk dirinya.
Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata tidak salah untuk meminta izin daripada pemiliknya daripada mengambilnya secara sembunyi di belakang pengetahuannya.
Tak salah pun nak nyanyi lagu-lagu saya. Tapi ‘minus one’ yang kami cipta sendiri itu dicipta khas untuk saya setiap kali tampil membuat persembahan. Kami gubah muzik sendiri.
Kalau nak, minta saja dengan saya atau pihak pengurusan. Tapi bukan ambil diam-diam. Saya pun suka ‘cover’ lagu-lagu orang tapi sebelum itu saya hormat pada mereka, saya meminta kebenaran.
Difahamkan, terdapat pihak menggunakan minus one eksklusif yang dicipta khas buat Shima persembahkan atas pentas tanpa izin dan digunakan untuk tujuan komersial.
Saya sangat-sangat hargai sesiapa saja yang menyanyikan lagu saya. Isunya sekarang adalah minus one itu diambil dan digunakan pihak lain yang tiada hak terhadap karya itu.
Saya difahamkan, minus one itu diperoleh daripada kru teknikal di sebuah acara persembahan saya. Apabila pihak saya tanya, mereka beritahu mendapatnya dari YouTube dan saya tahu dia menipu.
Penyanyi itu turut memaklumkan, pihak terbabit hanya menceritakan perkara sebenar selepas pengurusannya menghantar surat amaran untuk saman.