Pelakon Alvin Chong akui selesa hidup sendiri tanpa terikat dengan perhubungan atau komitmen cinta malah sudah menerima sekiranya ditakdirkan tidak mendirikan rumah tangga sampai bila-bila.
Ramai kawan saya yang sudah cerai cakap, tak payahlah kahwin. Mereka tahu saya suka travel, tahu gaji saya berapa, tahu saya tak nak anak.
Dengan ekonomi sekarang pun, nak tanggung anak mahal. Jadi saya dah mula terima hakikat, mungkin saya akan single sampai bila-bila.
Tambah Alvin, sekiranya suatu hari nanti dia menemui cinta hati, aktor dari Pulau Pinang ini berkata hubungan tersebut tidak akan dipertontonkan kepada umum.
Kalau saya ada pasangan pun, saya takkan umumkan. Kalau jadi apa-apa, saya kena jawab dengan semua orang. Netizen pun suka cari salah dan akan mula sesi tuding jari antara satu sama lain.
Akui tenang hidup sendiri, Alvin berkata sejak pandemik dia menjadi semakin tertutup dan privasi selain selesa berkurung di rumah sahaja.
Saya semakin introvert. Bangun pukul 5 pagi tidur pukul 11 malam, apabila dah gelap, saya tak nak keluar rumah kalau bukan kerja. Lepas pukul 9 malam, semua notifikasi telefon saya tutup. Rasa macam dah ‘pencen’.
Jujurnya sekarang saya tenang. Dahulu susah nak tidur sebab asyik tengok TikTok. Sekarang pukul 5 atau 6 pagi saya dah bangun.
Dalam pada itu, Alvin juga berkongsi dia kini sudah tidak menyentuh minuman alkohol dan bebas tabiat minum arak sejak Februari tahun lalu.
Saya dah berhenti minum. Sebenarnya saya dari dahulu pun tak suka. Tapi sebab nak orang terima saya, saya ikut-ikut juga.Tapi bila dah besar ni, saya mula fikir semula. Adakah benda ni buat saya bahagia?