Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar mengejutkan ramai baru-baru ini apabila beliau sangat aktif menyertai perhimpunan serta demonstrasi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lantang bersuara, Ellie menerusi satu temubual bersama mStar Online memberitahu beliau sangat tekad dengan perjuangannya. menyokong UMNO demi membela hak serta masa depan generasi akan datang.
Apa yang beliau lakukan selama ini bukanlah satu lakonan mahupun dibayar oleh mana-mana pihak, malah Ellie sanggup berdepan risiko dipenjarakan sekiranya beliau dianggap sebagai satu ancaman.
Ada yang tuduh saya terjerit-jerit itu hanyalah lakonan saya, itu tuduhan biadab! Hanya kerana saya seorang anak seni, saya diminta berdiam dan dicemuh kerana hak saya bersuara? Sepatutnya mereka tanya kenapa saya marah? Takkan saya nak marah saja-saja. Untuk membangkitkan perasaan rakyat, boleh ke bercakap seperti dalam kelambu?
Tidak ada sesiapa yang boleh menghentikan perjuangan ini dan saya sedia dipenjarakan jika dianggap sebagai satu ancaman.
Menerima kecaman yang hebat termasuklah daripada rakan-rakan dalam industri seni, Ellie bagaimanapun memberitahu perjalanan kariernya masih lagi sama. Setakat ini beliau tidak digam oleh mana-mana pihak tetapi sudah bersedia dan tidak terkejut jika beliau kurang menerima tawaran kerja selepas ini. Apa-apa pun, Ellie akan kekal tabah demi perjuangannya.