Penyebaran foto dan beberapa siri video yang menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan hubungan sejenis dengan seorang lelaki antara isu yang paling mendapat perhatian ramai ketika ini.
Walaupun pelbagai spekulasi timbul, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin bahawa Azmin tidak terlibat dalam skandal video berkenaan.
Katanya, zaman sekarang pelbagai gambar dan video boleh dihasilkan oleh mereka yang mahir dalam bidang teknologi. Tidak mustahil, ia mungkin serangan kotor ataupun fitnah politik yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak mampu bersaing dalam arena politik.
Saya tidak rasa ia benar dan kamu boleh menghasilkan gambar seumpama itu jika kamu bijak. Ia dilakukan oleh orang yang mempunyai agenda politik. Ia diletakkan oleh seseorang dengan agenda politik lain. Semua dendam menjadi kotor kalau tak boleh lawan orang.
Jika tidak boleh menang melawan seseorang, jangan buat kerja kotor seperti ini. Kena biar politik lebih bersih. Kalau begitu, setiap hari boleh tunjuk gambar lucah lah. Kamu kalah tapi nampak orang nak menang, kamu tunjuk gambar lucah.
Terdahulu, seorang setiausaha sulit kanan seorang menteri, Haziq Abdul Aziz, membuat pengakuan bersumpah mengakui beliaulah individu yang melakukan seks di luar tabii bersama Azmin. Video tersebut diambil tanpa kebenaran beliau di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei 2019 ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Sandakan, Sabah.
Bagaimanapun, Azmin dalam satu kenyataan balas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Azmin berkata tuduhan itu adalah fitnah semata-mata dan usaha kejam pihak tertentu yang ingin memusnahkan kerjaya politiknya.