Ingatkan Jimmy Shanley tidak akan membuat apa-apa kenyataan sebelum berjumpa dengan isterinya di mahkamah, namun Pancaindera hari ini telah berjaya mendapatkan Jimmy Shanley untuk menjawap beberapa soalan. Bagi Abang Nara, kalau benarlah Jimmy Shanley melakukan apa yang dia kata sebelum menampar isterinya, memang tak wajar untuk Suhaila mengembar-gemburkan perkara tersebut.
Ikuti temubual Pancaindera dan Jimmy Shanley sepenuhnya di bawah:-
SECARA terbuka, Suhaila kata Jimmy ni tak siuman. Sebagai suami yang masih sah, bagaimana Jimmy menerimanya?
Kenyataan tu macam ada orang tolong draf saja. Iyalah, mungkin dia sibuk sebagai orang bisnes, adalah pihak lain yang akan tolong dia buat kenyataan itu. Tetapi perlu saya nyatakan, orang tak siuman tak boleh puasa. Sesiapa baca kenyataan tu pun boleh fikir di mana tahap pemikiran seseorang itu berada. Tak akan 20 hari saja dia jadi isteri, dah tahu segalanya. Saya tak marah sebab tahu selalunya selepas beranak isteri boleh mengalami kemurungan. Sebagai suami saya baca dan abaikan saja.
Betul ke sebelum ni Jimmy susah sangat nak ‘masuk’ dalam keluarga dia?
Saya malas nak cakap lebih-lebih. Saya pun tak pernah cakap mengenai sikapnya ketika bersama sanak saudara saya pula. Selama kahwin pun tak pernah makan semeja dan tak pernah pun dia minta izin atau bersalam dengan suami kalau nak keluar rumah. Saya bukan baru hidup semalam, orang luar tahu lah saya ni macam mana orangnya. Setakat ni saya tak ada masalah pun dengan keluarganya. Kalau orang bercakap, barulah saya balas balik. Iyalah saya tak berpeluang nak bawa dia berjumpa saudara-mara saya. Bayangkan apa saya rasa bila saudara-mara saya cakap kenapa bini kamu masam saja? Asyik pegang telefon saja? Dan mana isteri kamu?
Pada 17 Oktober 2010 semasa hari persandingan di Ipoh, saya diam dan tak buat sidang akhbar pun pasal ini sebab mungkin isteri tengah kemurungan ketika ini. Memang betul suami kena faham situasi isteri tetapi saya jenis tak minat ‘bersosial’ terutama lepas kahwin. Mungkin di situlah puncanya.
Didakwa tak suka bercampur dengan orang? Pelik juga ya sebab sebagai seorang selebriti, Jimmy tentunya sentiasa dikerumuni ramai orang.
Ada saya cakap saya tak ada kawan? Hello..Facebook saya pun ada 5,000 orang. Tak cukup lagi ke? Tapi kena ingat kawan yang berkualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Bila dah kahwin, sepatutnya pasangan kita adalah kawan terbaik buat kita. Mana-mana saya pergi, orang ramah saja dengan saya dan paling tidak pun saya memberi senyuman. Tolonglah cermin diri di tasik yang tenang. Masyarakat tak bodoh bila menilai seseorang. Saya pun tak hipokrit. Memang saya seorang yang suka menyendiri. Jenis pergi dan balik kerja saja. Dah kahwin lagilah saya nak utamakan isteri dari segalanya tapi apa kan daya, saya merancang dan isteri menentukannya. Kalau saya sombong tak adalah sampai tujuh tahun saya ada dalam industri ni.
Komen mengenai soal tak keluarkan duit perbelanjaan pula?
Pertama sekali berita mengandung tak pernah dikongsi bersama. Hanya pada 28 November 2010 saja berita perihal kandungan dilemparkan pada saya. Kalau nak suami bayar segala kos rawatan kenalah bawa suami sama-sama pergi buat ujian imbasan bayi dan sebagainya. Barulah nampak normal sebagai pasangan suami isteri. Kenapa sekarang baru nak bangkitkan? Siapa yang pelik sekarang ni? Sekarang masyarakat dah tahu. Itulah kita kena berfikir sebelum bercakap bukan hanya membaca teks yang disediakan. Kalau orang bisnes dan jutawan macam mana pun, bila dah memilih orang kebanyakan sebagai pasangan, kita kenalah ikut kemampuan seseorang itu dan bersyukur di atas segalanya. Bukan mempersoalkan. Ikuti lah kisah nabi Muhammad dan isteri tercintanya. Kedua, susah ke nak telefon suami beritahu nak bersalin dan dimana. Sudahlah tak beritahu suami, emak sendiri pun dia tak pelawa ke hospital. Mak mertua yang menghubungi suruh datang tapi saya takut nanti kalau saya datang kena halau. Bukan tak pernah jadi pun sebelum ni.
Macam kes tampar tu, sejauh mana besar salah yang Suhaila buat sampai Jimmy boleh naik tangan?
Saya malas lah nak cerita perihal dalam bilik pada masyarakat tapi bila isteri dah cerita saya nak buat macam mana. Sebagai seorang suami, saya tampar pun mengikut langkah yang sebaiknya. Cakap baik-baik sudah, asingkan tempat tidur semalam pun sudah, minta pertolongan ibu mertua pun sudah dan kemudian barulah tampar tanpa ada kesan sebagai pengajaran. Tapi semua pun tak jalan juga sampai terpaksa pergi kaunseling di mahkamah. Islam tak suruh kita lakukan kekerasan pada insan yang lemah terutama pada isteri. Tak ada pula dicerita itu semua dan apa yang sebenarnya berlaku. Lagipun, saya tak sentuh pun dia di malam pertama bermakna saya tak tampar pun dia pada hari sebelum pernikahan dan pada malam pertama. Sebagai lelaki, saya tak pernah cubit mana-mana perempuan pun sebelum ini.
Kononnya, Suhaila berdiam diri sebab tak nak publisiti murahan, macam mana tu?
Semua ini tidak akan berlaku jika seseorang isteri patuh, mendengar dan taat pada arahan serta perintah suami. Sesiapa pun boleh bersuara cuma kita perlu tahu apa yang dikatakan dan impaknya pada diri sendiri bukan pada pihak yang disuarakan. Biarlah masyarakat yang menilai karya media sama ada publisiti itu murah ke tidak.
Selepas Suhaila ‘membongkar’ segala pekung, Jimmy rasa tercabar tak dengan apa yang dia buat?
Saya hanya takut pada Yang Maha Esa saja. Kalau saya takut kenapa saya failkan kes nusyuz dan kembali taat. Saya tahu jika dah ke mahkamah memang segalanya akan ‘terlondeh’ dan sebelum saya nak failkan kes, saya dah pesan beberapa kali kepadanya berubahlah sebab saya tak mahu bawa ke mahkamah. Tapi dah dicabar maka jadilah kes mahkamah. Saya dah diamanahkan untuk mendidik dan mengubah isteri oleh mertua. Kalau itu pun saya dikatakan salah, saya minta maaf.
Kiranya Jimmy menyesal ke berkahwin dengan Suhaila?
Saya tak nak menuduh siapa betul siapa salah sebab dua-dua ada kesilapan. Menyesal berkahwin? Memang tak, sebab itu ketentuan Tuhan serta saya percaya pada Qada’ dan Qadar. Hanya terkilan sedikit. Ramai yang tanya kalau dah tahu dia begitu kenapa teruskan juga? Sebenarnya, saya pegang pada janji dia yang mahu berubah selepas bernikah. Nampaknya, janji tinggal janji. Sekarang ada hati dia nak ambil hak penjagaan anak dari suami. Saya tak nak perjudikan masa depan anak, jadi saya akan mempertahankan hak di mahkamah. Saya minta maaf jika semua ini mengguris hati dan perasaan para pembaca semua, tetapi saya juga ada maruah yang perlu dipertahankan.