Mendedahkan pernah menghadiri sesi temuduga untuk bergelar pramugara sebanyak 13 kali, pelakon tampan Azad Jasmin menyatakan sebanyak lima kali sesi temuduganya ditolak oleh sebuah syarikat penerbangan popular tempatan atas faktor usia.
Katanya, perkara itu terjadi ketika dirinya menghadiri sesi temuduga di Pulau Pinang.
“Ketika di Pulau Pinang, kesemua temuduga di tiga buah hotel saya telah pergi namun lima kali saya ditolak ketika fasa pertama. Alasan mereka kerana saya baru berusia 15 tahun ketika itu.”
Ujar Azad lagi, dirinya tidak berputus asa, ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azad dikhabarkan tampil mencuba nasibnya sekali lagi.
“Ketika ditemu bual, saya disoal kenapa saya nak bekerja sebagai pramugara? Jawapan saya ketika itu kerana saya tinggi dan kacak. Kemudian saya gagal lagi.”
Bagaimanapun, kali terakhir Azad akhirnya lulus dan dipanggil ke ibu pejabat di Kelana Jaya untuk fasa berikutnya, namun bertindak menolak tawaran tersebut.
“Ketika sedang menunggu, saya jadi berkecamuk dan akhirnya saya menolak tawaran tersebut.. Memang menyesal sebab susah nak dapat,”
Memandangkan kredibiliti dan persona yang ditampilkan kru penerbangan ketika era 1990-an sangat mengagumkan, kerjaya pramugara menjadi idaman Azad.
Malah menerusi video yang dimuat naik menerusi rakaman video YouTube Zarul Umbrella baru-baru ini, isterinya Eira Syazira juga turut berkongsi minatnya untuk menjadi pramugari sejak bangku sekolah.
Namun, segalanya berubah apabila meningkat dewasa selepas dirinya berpeluang menjadi “pramugari” ketika menjadi pelakon.