Perdana Menteri dan pasukannya kini sedang dalam usaha untuk memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan oleh pihak Israel dengan segera.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi hantaran di Instagram di mana Anwar mendoakan agar ahli keluarga semua aktivis terus diberi kekuatan dan ketabahan.
Saya dan pasukan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik.
Beliau turut berkata segala perkembangan bagi setiap proses menuju pembebasan semua sukarelawan dan aktivis misi kemanusiaan itu akan dimaklumkan dari masa ke masa.
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara.
View this post on Instagram
GSF satu inisiatif sah dan aman
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal dalam misi kemanusiaan flotila termasuk 12 rakyat Malaysia, serta pembebasan kapal-kapal mereka.
Malaysia turut menuntut supaya penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dipastikan dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza..
Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap GSF yang merupakan satu misi kemanusiaan aman yang membawa bantuan ke Gaza.
Katanya, tindakan tanpa provokasi dan sembarangan itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas dari sebarang hukuman, menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut.