Khabarnya mahu membuat laporan polis selepas dituduh menipu oleh seorang individu di laman sosial Instagram, Man Raja Lawak akui, tindakan tersebut diambil kerana tuduhan dilemparkan individu tersebut terhadap dirinya melampau.
Menurut Man, beliau mempunyai segala bukti bahawa dirinya tidak bersalah, malah langsung tidak takut kerana yakin beliau berada di pihak yang benar.
“Saya akan buat laporan polis. Budak tu pun terlampau berani sangat. Kita nak tengok jugalah sampai mana berani dia tu. Kalau dapat kenal pasti siapa dia, saya nak pergi jumpa dan minta dia jelaskan apa tujuan dia sebenarnya.”
Ujar Man, selepas diasak dengan provokasi dan dilihat semakin melampau, Man yang pada mulanya enggan melayan komen ditulis individu tersebut khabarnya tidak lagi mampu menahan diri untuk mengambil tindakan.
“Tapi lama kelamaan budak tu macam mencabar pula. Kalau dia menggunakan fake akaun sekalipun saya akan cari. Kalau dia ada bukti, saya minta dia kemukakan. Tapi kalau tak ada bukti tunggulah pembalasannya nanti.”
Katanya lagi, beliau tidak mempunyai musuh dan tidak sangka akan dituduh sebagai penipu.
“Saya hidup ni kalau boleh memang tak nak ada musuh langsung sebab seorang musuh tu lebih berbahaya daripada seribu kawan.”
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Man dituduh menipu tentang sumbangannya kepada masyarakat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
https://www.instagram.com/p/CD_SKK3l3VT/
Lebih perit, individu tidak bertanggungjawab itu juga mendakwa Man menipu rakyat Malaysia kononnya memberi bantuan ribuan ringgit kepada orang ramai semata-mata mahu kelihatan ‘hero’ di mata masyarakat.
Sumber: Gempak