Seorang pengguna media sosial berbangsa India tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan insiden kemalangan tragis melibatkan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa seorang individu.
Menerusi hantaran di Threads, individu tersebut meluahkan rasa kesal serta menegaskan bahawa perbuatan salah tidak wajar dipertahankan, walaupun melibatkan kaum sendiri.

“Saya minta maaf Malaysia. Kami kaum India sebelum ini sudah pun dikecam akibat beberapa isu dan kini sekali lagi terpalit dengan tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang suami dan bapa.”
“Kepada semua kaum India, jangan sesekali menyokong atau cuba memutar belit perkara yang sememangnya satu kesalahan. Saya sebenarnya tidak gemar menyentuh soal kaum, tetapi perkara ini sudah menjadi serius.”
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak menjadikan isu tersebut sebagai perbalahan antara kaum atau agama, sebaliknya memberi tumpuan kepada keadilan buat mangsa.
“Ini bukan masa untuk kita bertelagah tentang agama atau perbezaan. Pelaku perlu dikenakan hukuman yang setimpal.”
“Marilah kita fokus kepada keadilan untuk mangsa. Semoga arwah tenang di sana. Hentikan tabiat memandu di bawah pengaruh alkohol.”
Terdahulu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan maut di Klang.
Pemandu Mabuk & Positif Dadah Sebabkan Kematian Penunggang Motosikal Direman 4 Hari
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat di Mahkamah Majistret Klang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi Ahad, mangsa yang menunggang motosikal dilaporkan maut di lokasi selepas tercampak akibat dirempuh sebuah kereta jenis Honda City.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa. Ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek berada di bawah pengaruh dadah selain memandu dalam keadaan mabuk.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
