Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick, sekali lagi tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instastory miliknya, selain menyatakan azam untuk lebih menjaga tutur kata pada masa akan datang.
Menerusi perkongsian tersebut, Janna menyatakan dirinya terbuka untuk menerima sebarang teguran sekiranya terleka atau tersilap langkah. Menurutnya, setiap teguran dianggap sebagai satu bentuk peringatan yang wajar dihargai.
“Saya mohon ampun dan maaf daripada semua, dan saya juga memaafkan anda semua. InsyaAllah, saya juga berazam untuk tidak lagi berkata-kata apa-apa yang mungkin tanpa disedari akan menyakiti hati sesiapa.”
“Andai kata, suatu hari nanti saya terlupa / terleka. tegurlah saya, marahlah saya… saya bersyukur atas segala teguran,” kongsinya.
Dalam pada itu, Janna turut menitipkan doa agar setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT dapat menjadi ruang untuk seseorang menjadi insan yang lebih kuat serta lebih baik pada masa hadapan.
“Semoga segala ujian yang diberikan Allah SWT akan menjadikan kita manusia yang lebih kuat dan lebih baik di masa akan datang,” kongsinya.
Sebelum ini, Janna turut memohon maaf atas perkongsiannya di aplikasi Threads serta mengakui kekhilafannya apabila menyatakan tentang belajar untuk melepaskan dan membiarkan Allah yang menguruskan segala perkara.
Malah, menerusi Instastory yang sama, Janna turut mendoakan agar sesiapa sahaja yang menyimpan perasaan dendam atau trauma diberikan kesembuhan serta kebahagiaan.
Permohonan maaf tersebut dibuat susulan perbalahan yang tercetus antara Janna dan aktres Puteri Balqis di media sosial, yang sebelum ini turut mencuri perhatian warganet.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
