Penyanyi, Aina Abdul berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik menerusi lagu Puas Sudah pada malam Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Menurut Astro Gempak, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani telah menampilkan tema berkonsepkan degupan jantung dengan rona merah dan dia berpuas hati persembahannya itu kerana dapat memukau hati juri dan penonton.
Walau bagaimanapun, Aina memilih untuk tidak berkongsi mengenai kos keseluruhan bagi persembahan tersebut sebaliknya dia hanya menzahirkan rasa syukur atas kerja keras seluruh pasukannya yang membuat persiapan sejak beberapa bulan yang lalu.
Saya rasa memang berbaloi. Allah bagi saya kemenangan pada malam ini.
Saya takkan kongsi kos saya cuma ini adalah paling banyak saya berhabis.
Saya tak ingat berapa ramai team yang saya bawa ke AJL ni, hampir 100 orang juga yang siapkan saya. Anugerah ni untuk mereka, hasil kerjasama berbulan-bulan.
Dalam pada itu, penyanyi itu memaklumkan corak mata dan bibir yang ada pada busana hasil sentuhan Melinda Looi itu mewakili ‘suara’ wanita yang tersakiti dan menjadikan dirinya sebagai medium untuk melontarkan perasaan mereka.
Saya tak fikir panjang untuk konsep lagu ni. Saya hanya nampak warna merah untuk lagu ini.
Kisah lagu ni adalah ditulis berdasarkan kisah orang lain persamaan kisah-kisah mereka ini semua. Saya hanya medium untuk bercerita.
Saya tampil dengan jantung kerana saya rasa inilah selayaknya untuk Puas Sudah.
Saya mewakili mata-mata, bibir-bibir yang nak bersuara tapi tiada medium.