Usahawan Ezwan Zain, atau lebih dikenali sebagai Mr. E, mencuri tumpuan apabila secara berseloroh mendedahkan taktik “mengurat” yang digunakan ketika pertama kali bertemu primadona negara, Erra Fazira.
Saya mengurat Erra Fazira dengan putu mayam sahaja.
Menurut Mr. E, pertemuan itu berlaku di stesen radio Sinar FM sekitar Mac 2022, ketika beliau hadir bagi menjamu para penyampai dengan kuih-muih dari restoran miliknya. Kebetulan, Erra ketika itu menjadi penyampai jemputan.
Katanya, walaupun mengenali nama Erra Fazira sejak dahulu, mereka tidak pernah bertentang mata sebelum hari tersebut.
Sebenarnya saya tak pernah bertemu Erra Fazira. Saya tahu siapa Erra tapi tak pernah jumpa secara berdepan. Dipendekkan cerita, kami ke radio Sinar FM jamu penyampai. Erra pun ada waktu itu. Saya tengok Erra beria-ia makan.
Dia sahaja makan putu mayam berulang empat kali. Saya yang ada kat situ tengok sambil cakap dalam hati dia suka putu mayam. Kita pun ‘cocok’ lah lagi,” katanya sambil ketawa, dalam perkongsian YouTube KasiOnz.
Saluran YouTube itu diwujudkan oleh Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, bersama Mr. E, bagi berkongsi kisah perjalanan hubungan mereka menjelang hari pernikahan pada 12 Disember ini.
Episod pertama yang disiarkan malam tadi merakamkan detik awal perkenalan mereka yang akhirnya membawa ke fasa baharu kehidupan.
Erra Akui “Tak Control Ayu” Bila Jumpa Putu Mayam Sedap
Dalam video sama, Erra turut mengimbas kembali pertemuan tersebut dengan penuh humor. Selepas pertemuan di Astro, katanya, Mr. E mula mengambil langkah pertama untuk mendekati.
Erra kemudian mendedahkan sebab sebenar mengapa beliau makan putu mayam tersebut berkali-kali.
Berbalik kepada minum petang tadi, saya memang bersungguh makan sebab sejak usia muda, saya dah lama tak jumpa putu mayam yang sedap. Ini bukan memuji. Memang sedap. Saya tak ‘control ayu’. Dah suka saya ulang sampai empat kali.
“Tiada Cinta Pandang Pertama, Tapi Dari Situlah Ia Bermula”
Erra mengakui bahawa pertemuan itu tidak serta-merta menimbulkan rasa cinta, namun ia menjadi pintu pembuka kepada persahabatan mereka.
“Bermula dari situlah kita berkenalan walaupun tiada di hati saya berkenan pada pandang pertama,” katanya sambil bergurau memanggil Mr. E sebagai ‘Hang Kebun’, merujuk kepada penampilan Mr. E yang ketika itu lebih kurus dan gelap akibat masalah kesihatan.
Kini, selepas lebih setahun berkenalan, pasangan ini bakal melangkah ke alam perkahwinan pada 12 Disember, sekaligus menamatkan spekulasi mengenai hubungan mereka yang sudah lama menjadi perhatian peminat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
