Bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Hazim, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan bas di Gerik, Perak berkata keluarga reda dengan pemergian anaknya itu.
Kata Halim Sidik, 58, apa yang berlaku kepada Muhammad Adib adalah ketentuan Ilahi dan mereka sekeluarga tiada dendam terhadap pemandu bas berkenaan meskipun banyak cerita dihebohkan berkenaan lelaki itu.
Saya maafkan pemandu bas, apa yang berlaku ini takdir. Tiada dendam terhadap dia. Anak kami pergi dengan baik.
Saya fikir pemandu pun ada keluarga, dia juga tidak berniat untuk membawa laju. Soal maaf, biarlah dia pohon kepada Tuhan.
Terdahulu, di media sosial ramai netizen menghentam pemandu berkenaan kerana dikatakan memandu secara berbahaya.
Pemandu bas itu, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, telah memohon maaf kepada semua pelajar dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit.