Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya mengesahkan dirinya kini kembali bergelar ibu tunggal selepas sah bercerai dengan suaminya, Mohammed Azam Abdullah.
Berita tersebut dikongsikan sendiri oleh Aleya atau nama penuhnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya menerusi satu hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar itu tidak mendedahkan secara terperinci tarikh sebenar perceraian mereka.
“Assalamualaikum, video reel (Instagram) ini merupakan kompilasi kenangan yang dirakam dan dikongsi sejak November 2025. Saya kongsikan hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh idah saya. “
“Saya kini sah bercerai. Alhamdulillah,” kongsinya.
Menurut Aleya, perkongsian itu dibuat bagi mengelakkan sebarang fitnah pada masa akan datang selain menjelaskan status dirinya secara terbuka.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa dirinya dan anak-anak berada dalam keadaan baik dan saling menyokong antara satu sama lain sepanjang melalui fasa tersebut.
“Kami dalam keadaan baik dan saling menyokong antara satu sama lain mengharungi fasa ini.”
“Alhamdulillah, kami mempunyai sistem sokongan yang sangat luar biasa. Terus melangkah ke hadapan, anak-anak kesayangan ibu.”
“Insya-Allah. Jika anda tidak keberatan, selitkanlah nama saya dan anak-anak dalam doa kalian. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan mengampuni kami,” katanya lagi.
Untuk rekod, Aleya dan Mohammed Azam Abdullah sah mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ali Abdullah, 11, dan Ahyan Abdullah, 9.
Ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Aleya selepas berpisah dengan suami pertamanya, Muhd Ashraf, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan anak kembar iaitu Aza Ameena dan Asha Ameena, 17.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
