Penyanyi dan pelakon, Abby Abadi, 48, mengakui bahawa selepas mengambil keputusan meninggalkan kumpulan Elite pada tahun 1997, dia langsung tidak mengikuti perkembangan kumpulan tersebut.
Ketika bersama Elite, yang ditubuhkan pada 1996 di bawah naungan label KRU, Abby sempat terlibat dalam dua album iaitu Catwalk dan Tamparan, sebelum berundur dan digantikan oleh Fiza sebagai ahli baharu.
Saya mula berlakon drama Gerak Khas rasanya pada tahun 2000. Apapun, saya sebenarnya tidak ingat dah bila tahun yang saya keluar daripada Elite, katanya kepada Harian Metro ketika ditemui baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai punca dia membuat keputusan untuk meninggalkan Elite, Abby menegaskan ia bukan disebabkan merajuk mahupun kerana ingin menceburi bidang lakonan secara aktif.
Saya tidak merajuk dengan sesiapa pun. Tapi tak tahulah apa yang dorong sampai saya buat keputusan undur diri daripada Elite. Cuma, ketika itu ia memang berlaku dengan kerelaan hati saya sendiri. Bukan juga sebab nak aktif berlakon.
Tambah Abby, atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, selepas berundur daripada Elite, dia tidak berasa perlu untuk mengikuti perkembangan kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, hubungan saya bersama rakan-rakan Elite tetap baik sampailah sekarang. Malah, saya selalu bersama dengan Azza dan saling membantu perniagaannya.
Konsert Elite Live ’25 dijadual berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September depan.
Selain Abby dan Azza, tiga lagi anggota asal Elite ialah Shasha Saidin, Watie Sadali dan Linda Rafar.
Terdahulu, kumpulan ini pernah tampil dengan lagu baharu berjudul Alhamdulillah pada tahun 2021, namun kurang mendapat publisiti kerana ketika itu negara masih berada dalam fasa penularan Covid-19.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.