Pelakon, Fauziah Ahmad Daud mendedahkan pernah menjadi mangsa sihir selepas beberapa bulan dia mendirikan rumah tangga bersama pelakon terkenal, Eman Manan.
Menerusi Podcast X’Klusif, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata, dia mula merasai gangguan aneh apabila dia kerap melihat mahkluk halus selain mengalami perubahan emosi mendadak termasuk naik angin tanpa sebab.
Saya jumpa patung muka saya ditanam depan rumah. Ketika itu baru beberapa bulan saya menikahi Eman.
Disebabkan kerap nampak benda-benda yang tak sepatutnya, emosi tak stabil, rasa malas nak pergi kerja, tiba-tiba marah tanpa sebab. Itulah yang saya rasa.
Pelakon itu turut berkata, keadaan mistik terus berlarutan sehingga dia dibantu isteri kepada pelakon, Datuk Tarmimi Siregar iaitu Tengku Asmah yang memanggil seorang imam bagi memutuskan sihir tersebut.
Perkara itu berterusan sehingga isteri Datuk Tarmimi Siregar panggil imam Masjid Kampung Baru datang ke rumah saya.
Imam itu masuk saja terus dia kata, ‘ada benda dekat depan tu, korek sekarang’. Bila korek jumpa patung muka saya yang dibalut kain kafan dan penuh dengan jarum.
Kata Ogy, itu adalah kali pertama dia melihat sendiri bukti bahan sihir yang dihantar kepadanya.
Atas nasihat imam tersebut, dia perlu menjalani proses pemulihan dengan mencari tujuh masjid untuk mandi dan menunaikan solat sunat taubat.
Sebelum ini, Ogy pernah mendirikan rumah tangga dengan Eman Manan pada 23 Disember 1990 namun bercerai selepas 13 tahun kemudian.