Mendedahkan dirinya dan suami, Azmi tidak pernah bersanding atau mempunyai majlis perkahwinan yang sempurna, pengacara dan personaliti TV Daphne Iking akui teruja setiap kali menghadiri majlis perkahwinan kenalannya dan suka mengambil gambar di pelamin.
Hal ini kerana, pasangan ini dikhabarkan tidak pernah merasa duduk direnjis di atas pelamin kerana mereka menikah lebih awal daripada tarikh yang dirancang.
“Saya tak pernah rasai pengalaman bersanding atau merenjis dan sebagainya, jadi di mana sahaja saya nampak pelamin cantik, saya akan selalu cuba nak ambil gambar dengan Azmi jadi dapat lah rasa jadi Raja Sehari. Ia kerana kami bernikah lebih awal dari tarikh yang dirancang.”
Daphne berkongsi kisah tersebut kepada umum di laman Innstagram miliknya. Menerusi perkongsian tersebut beliau dilihat memuat naik fotonya di atas pelamin bersama suami ketika menghadiri majlis perkahwinan kenalannya.
“Masa kami hantar borang untuk lantik wali hakim (sebulan sebelum tarikh kahwin sebenar), wali lihat kami dan cuba berjenaka dan bertanya ‘kalau nak boleh nikah petang ni sebab ada slot kosong, nak?”
Disebabkan kejadian itu, Daphne dan pasangan dengan pantas bersetuju dengan ajukan berkenaan. Malah akui dengan sekali lafaz mereka sah menjadi pasangan suami isteri dengan mas kahwin bernilai RM80.
“Jadi masa itu dengan tiada solekan dan dengan baju pengantin masih dengan tukang jahit untuk dijahit manik tradisional. Saya hanya memakai seluar denim dan baju Zara warna kuning serta hanya dengan selendang biasa untuk menutupi rambut saya yang saya jumpa di dalam beg tangan.”
Tambah Daphne lagi mereka hanya memberitahu pernikahan itu kepada ibu bapa mereka selepas pulang ke rumah dan mereka diraikan dengan acara barbeku di rumah.
Untuk rekod, Daphne memeluk agama Islam pada tahun 2010 dengan nama Islamnya Dahlia Eleanor Iking dan bernikah dengan Azmi pada 8 Januari 2011.
Daphne mempunyai empat cahaya mata iaitu Isobel Daniella Iking, Iman Daniella Iking, Isidore Daniel Iking dan Ilon Daniel Iking Azmi yang baru berusia 3 bulan.
Sumber: Gempak